Tiga lagi ahli Geng Upik akan didakwa di mahkamah

Ayob Khan. Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai seorang ahli perniagaan dan 10 individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Upik.
Ayob Khan. Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai seorang ahli perniagaan dan 10 individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Upik.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga lagi individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah Geng Upik akan dituduh di mahkamah pada 1 Mac ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga individu yang berusia 25 hingga 29 tahun itu kini berada di pusat pemulihan akhlak.

"Mereka juga adalah anggota sindiket pengedaran dadah, individu tersebut berkemungkinan berperanan sebagai 'transporter'.

"Kesemua individu itu akan dituduh pada 1 Mac di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan, ahli perniagaan dan 10 individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Upik.

Semua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kota Kinabalu mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Kesemua tertuduh menghadapi tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu antara 2015 hingga tahun lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd Sham di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tiada pengakuan dirakam daripada tertuduh, manakala sebutan semula ditetapkan pada 1 Mac depan sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 25 Disember lalu, polis menahan ahli perniagaan bergelar datuk yang didakwa mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah menerusi siri serbuan dilakukan Polis Bukit Aman.

Lelaki itu turut disyaki menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haram sejak 2015.

Sindiket berkenaan juga dipercayai melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.


Perkemas penyeliaan anggota polis - Ayob Khan

Dalam kes berasingan Ayob berkata, masalah penyeliaan disyaki menjadi salah satu punca anggota polis terlibat dalam kes salah laku.

Menurutnya, jika kemas penyeliaan, masalah itu akan berkurangan.

"Dari segi prosedur operasi standard (SOP) pengambilan anggota polis sudah lengkap.

"Penyeliaan dan tindakan tanpa tolak ansur itu dapat kekang pegawai dan anggota yang berniat terlibat dalam kes salah laku," katanya.

Ayob Khan berkata, pihaknya tidak tolak ansur terhadap anggota atau pegawai polis yang terlibat dalam kes salah laku.

"Saya sudah ingatkan banyak kali dan berkongsi banyak tangkapan, kita tengok sekarang ini jika ada terlibat, kita akan tangkap dan akan tuduh di mahkamah.

"Bagi saya yang terlibat ini walaupun jumlah sedikit beberapa peratus sahaja inilah yang mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) keseluruhannya," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan Polis Selangor membuka kertas siasatan berkaitan kes tatatertib terhadap seramai 311 pegawai dan anggota pada tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 33 individu telah dituduh di mahkamah.

Seramai 14 individu telah ditahan kerja dan 21 orang pula telah dibuang kerja, manakala selebihnya dalam tindakan lanjut.

Hussein berkata, pihaknya memandang serius berkaitan kes pelanggaran tatatertib, walaupun jumlah tersebut dilihat sedikit berbanding jumlah 15,000 anggota Polis Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!