Fakta tentang hadanah yang perlu diketahui

HAK penjagaan anak sering kali menjadi antara perkara direbutkan selepas pasangan suami isteri berpisah.
HAK penjagaan anak sering kali menjadi antara perkara direbutkan selepas pasangan suami isteri berpisah.
A
A
A

KES perebutan hak penjagaan anak acap kali berlaku membabitkan pasangan suami isteri yang sudah bercerai.

Ia turut dikenali sebagai hadanah.

Walaupun istilah itu biasa diperkatakan, namun masih ramai yang kurang cakna tentangnya.

Ia kembali hangat dibualkan apabila sebutan kes hadanah membabitkan pasangan selebriti di mahkamah syariah yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Jabatan Bantuan Guaman, hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri sama ada lelaki atau perempuan, waima dalam tempoh perkahwinan atau perceraian.

Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof menjelaskan, seorang ibu pada asasnya ialah individu paling layak mendapat hak jagaan anak.

FAZRU ANUAR
FAZRU ANUAR

Artikel Berkaitan:

“Undang-undang juga memperuntukkan hak ibu dalam kes-kes hadanah di mahkamah syariah seperti termaktub dalam Seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017,” katanya kepada Sinar Islam.

Meskipun demikian, pengamal undang-undang syariah itu mengingatkan, hakim syarie tidak akan sewenang-wenangnya memberikan hak jagaan anak kepada ibu sebelum memastikan wanita tersebut memenuhi syarat-syarat untuk melayakkan diri memiliki hak hadanah yang sah.

“Ia perlu untuk memastikan kemaslahatan dan kebajikan anak tersebut sekiranya diberikan kepada seseorang ibu.

“Lazimnya, hak hadanah diberikan kepada ibu jika anak masih kecil. Namun begitu, ibu juga boleh hilang kelayakan hadanah, sekali gus hak tersebut jatuh kepada nenek sebelah ibu atau terus kepada bapa mengikut keadaan-keadaan tertentu dan perintah mahkamah,” katanya.

DALAM menentukan hadanah, mahkamah syariah turut memberi perhatian kepada kebajikan kanak-kanak tersebut. -Gambar hiasan
DALAM menentukan hadanah, mahkamah syariah turut memberi perhatian kepada kebajikan kanak-kanak tersebut. -Gambar hiasan

Dalam menentukan hadanah, Jabatan Bantuan Guaman menjelaskan, mahkamah syariah turut memberi perhatian kepada kebajikan kanak-kanak tersebut, di samping kemahuan ibu bapa dan anak-anak berkenaan sekiranya mereka dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapat masing-masing.

Bagaimana pula jika seorang bapa ingin mendakwa bahawa beliau layak untuk menjaga anaknya sendiri?

Dalam hal itu, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, bapa tadi hendaklah membuktikan ibu hilang kelayakan dengan wujudnya salah satu keadaan sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA
NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Menurutnya, hak seorang perempuan terhadap hadanah hilang apabila:

(a) Jika perempuan itu berkahwin lain dengan melibatkan pengabaian pada kebajikan anak.

(b) Jika perempuan tersebut berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.

(c) Jika wanita itu menukar permastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak tersebut menjalankan pengawasan yang perlu ke atas anak berkenaan.

(d) Sekiranya perempuan itu murtad.

(e) Andai wanita tersebut mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak berkenaan.

Walaupun seorang isteri disabitkan nusyuz, Nurain Akmal Khairunnisa menegaskan, ia tiada kena mengena dengan hak jagaan anak.

“Malah, wanita itu masih berhak menjadi penjaga kepada anak-anak sekiranya tidak hilang kelayakan sebagai penjaga,” coretnya.