Pengusaha kilang rugi RM6.22 juta terpedaya skim pelaburan emas

Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Yusri )
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Yusri )
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang pengusaha kilang kerugian lebih RM6 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan emas tidak wujud melalui media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, warga emas wanita berusia 61 tahun dari Taman Rasi Jaya di sini itu membuat laporan polis pada Isnin selepas menyedari penipuan tersebut.

Menurutnya, siasatan pihak polis mendapati kejadian bermula pada 14 Oktober 2023 apabila mangsa melayari laman blog pelaburan di Facebook dan menekan pautan nombor aplikasi WhatsApp suspek.

Menurutnya, selepas itu suspek memasukkan nombor mangsa ke dalam beberapa kumpulan WhatsApp bagi tujuan pelaburan emas.

"Sejak daripada itu, mangsa telah memasukkan dana sebanyak 32 kali ke dalam 11 akaun bank yang berbeza berjumlah RM6.22 juta.

"Apabila mangsa ingin mengeluarkan wang pelaburan sebanyak RM2.2 juta pada 22 Januari 2024, suspek tidak membalas serta platform pelaburan tidak dapat diakses.

"Ketika itu barulah mangsa yang merupakan pengusaha kilang sedar bahawa dia telah ditipu oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, nilai kerugian tersebut merupakan yang terbesar pernah dicatat melibatkan mangsa kes penipuan di negeri ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau sekali lagi memberi amaran kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan melalui platform media sosial terutama skim yang dipromosikan melalui Facebook tanpa kelulusan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.

Jelasnya, orang ramai juga boleh menghubungi talian Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan dan baru membuat transaksi ke akaun keldai manakala, sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, boleh berhubung di infoline di talian 013-2111222 menerusi aplikasi WhatsApp.

Di samping itu, orang awam juga boleh menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mungkin terlibat dalam kes penipuan melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my.