Projek alur limpah disegerakan sebelum tengkujuh akan datang

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

KOTA BHARU - Pembinaan tiga alur limpah (spillway) di kawasan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok akan disegerakan sebelum tiba tengkujuh seterusnya.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, proses tersebut berada pada tahap sedang dinilai secara dalaman.

“Kami tahu kalau melalui proses atau kaedah yang sedia ada mungkin mengambil lebih masa.

“Jadi, perkara ini perlu teliti untuk disegerakan seperti hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diharapkan juga akan siap sebelum musim tengkujuh seterusnya,” kata beliau selepas Lawatan Kerja ke Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Teluk di sini, pada Isnin.

Akmal Nasrullah (kiri) mendengar penerangan daripada Izani (kanan) berkait LRA Kampung Teluk.
Akmal Nasrullah (kiri) mendengar penerangan daripada Izani (kanan) berkait LRA Kampung Teluk.

Turut hadir, Pemangku Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd, Izani Ismail.

Akmal Nasrullah mengulas lanjut, penelitian juga melibatkan aspek pemilihan saluran mana-mana bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Katanya, berkaitan isu lantikan kontraktor secara terus atau tidak masih belum lagi mencapai pada tahap itu.

Artikel Berkaitan:

“Belum tiba masa untuk melantik kontraktor dan kemungkinan akan melibatkan pelantikan secara terus.

“Kes-kes kecemasan seperti ini memang perlu ada keutamaan untuk disegerakan,” kata beliau.

Pada Disember tahun lalu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi membina tiga alur limpah berkenaan.

Peruntukan termasuk melaksanakan pembinaan alur limpah di kawasan benteng Projek PLSB Sungai Golok, Kampung Lanchang yang pecah semasa banjir, baru-baru ini.