SC tegah orang ramai melabur, berurusan dengan Hap2py

SC memberi amaran kepada orang awam agar tidak melabur atau berurusan dengan Hap2py, platform pembiayaan antara rakan setara atau peer-to-peer (P2P financing) yang tidak dibenarkan di Malaysia.
SC memberi amaran kepada orang awam agar tidak melabur atau berurusan dengan Hap2py, platform pembiayaan antara rakan setara atau peer-to-peer (P2P financing) yang tidak dibenarkan di Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang awam agar tidak melabur atau berurusan dengan Hap2py, platform pembiayaan antara rakan setara atau peer-to-peer (P2P financing) yang tidak dibenarkan di Malaysia.

SC dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan terhadap Hap2py termasuk menyenaraikan platform itu dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, menyekat beberapa laman webnya dan mengeluarkan perintah henti operasi.

Bagaimanapun, SC memaklukan, pihaknya mendapati Hap2py tetap terus mendekati pelabur Malaysia melalui pelbagai cara termasuk melalui variasi laman webnya serta iklan di media sosial.

"Terdapat banyak pertanyaan dan aduan terhadap entiti ini daripada orang ramai.

“SC memandang serius ketidakpatuhan ini serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya dan sebarang tindakan lain yang wajar termasuk tindakan penguatkuasaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Hap2py bukan Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang dibenarkan.

Ia kini mengendalikan platform P2P tanpa mendapatkan kebenaran SC sebagai RMO, yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) (e) dibaca bersama Seksyen 34 Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007.

Jika sabit kesalahan, individu atau entiti tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, SC menggesa pelabur dan mereka yang ingin mengumpul dana untuk tidak berurusan atau melabur melalui Hap2py

"SC menekankan kepentingan untuk pelabur hanya melabur dengan RMO yang didaftarkan dan dibenarkan oleh SC," katanya.

Menurut kenyatan itu lagi, ini kerana RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia dan dikehendaki mematuhi garis panduan dengan ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

"Pelabur yang berurusan dengan entiti tidak berlesen atau tidak dibenarkan terdedah kepada pelbagai risiko termasuk penipuan (scam).

"Sekiranya berlaku pertikaian, pelabur tidak akan mendapat bantuan undang-undang," kata kenyataan itu.

Difahamakan, terdapat 12 RMO berdaftar untuk pembiayaan P2P seperti yang disenaraikan di SC.

Hanya mereka yang tersenarai adalah pengendali platform dibenarkan untuk mengendalikan P2P di Malaysia.

Sehubungan itu, pelabur digesa untuk mengesahkan kesahihan dan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tiada risiko melalui Senarai Peringatan Pelabur SC.