Konsert Siti Nurhaliza: 'Saya tegur ikhlas, terserah kepada penganjur' - Mufti

Wan Salim. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian
Wan Salim. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian
A
A
A

GEORGE TOWN - "Saya menegur secara ikhlas demi kebaikan umat Islam, bukan untuk mencari populariti atau apa-apa kepentingan diri," kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata demikian susulan kenyataannya sebelum ini terhadap isu penganjuran konsert Epitome Saya Siti Nurhaliza yang dirancang akan diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil pada Mac depan.

Menurutnya, beliau hanya memberi pandangan peribadi sahaja berdasarkan pertimbangan yang menyeluruh, bukan sekadar ingin mencapai kepentingan segera tetapi mengambil kira juga kesan konsert itu ke atas umat Islam di sudut rohani.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa pandangan peribadi seorang mufti tidak mengikat mana-mana individu Muslim atau bukan Muslim.

"Ini adalah kerana mufti bukanlah seorang yang maksum atau terpelihara daripada kesalahan. Pandangan mufti bukan seperti ayat al-Quran atau hadis sahih yang tidak boleh dibantah oleh mana-mana penganut agama Islam,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Wan Salim turut berterima kasih kepada Pihak Yayasan Nurjiwa kerana sudi memberi penjelasan yang terperinci tentang tujuan penganjuran konsert tersebut iaitu mengutip dana untuk menampung beberapa kluster kerja kebajikan termasuk bantuan khas kepada rakyat Palestin yang sedang menghadapi kesengsaraan hidup akibat serangan ganas penjajahan Israel.

"Perlu saya menarik perhatian pihak Yayasan Nurjiwa dan masyarakat awam bahawa saya tidak sama sekali mempertikaikan tentang niat atau tujuan di sebalik penganjuran konsert tersebut.

"Saya akui bahawa ia dianjurkan dengan niat yang murni dan ikhlas. Tetapi isu sebenarnya yang menjadi fokus saya terhadap konsert berkenaan ialah tarikhnya yang tidak sesuai kerana terlalu hampir dengan bulan Ramadan," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpandangan, mengadakan konsert pada hari-hari menghampiri bulan Ramadan adalah melalaikan umat Islam daripada menumpu perhatian kepada aspek pembangunan rohani.

Tegasnya, sepatutnya dalam waktu sedemikian umat Islam digalakkan untuk membuat persiapan rohani secukupnya bagi menyambut kedatangan bulan yang mulia tersebut. ⁠

"Terserah kepada pihak bersangkutan dan orang ramai sama ada mahu menerima pandangan yang diberikan atau menolaknya berdasarkan pertimbangan masing-masing.

"Saya menegur secara ikhlas demi kebaikan umat Islam, bukan untuk mencari populariti... Cuma perlu diketahui bahawa sesuatu amalan atau tindakan seseorang Muslim dinilai di sisi Allah SWT berdasarkan niat yang ikhlas daripada pelakunya dan betul pula caranya mengikut syariat.

"Ini bermaksud tidak memadai melakukan sesuatu hanya dengan niat yang baik dan ikhlas sahaja tetapi caranya juga mestilah sesuai dengan hukum syariat,"tambahnya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang itu turut menerangkan pendiriannya yang amat berlapang dada tentang hiburan dan aktiviti seni umumnya.

"Bagi saya agama Islam sebagai cara hidup yang selari dan seraksi dengan keadaan semula jadi manusia (fitrah) tidak mungkin menentang hiburan dan kesenian yang bersih (al-funun al-bari’ah), asalkan ia tidak mendorong kepada maksiat dan tidak melalaikan daripada kewajipan kepada Allah dan kepada sesama manusia.

"Inilah pendirian saya yang konsisten walaupun saya tahu ada sebahagian ulama yang berpandangan bahawa hukum nyanyian dan muzik adalah haram serta berdosa," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dinasihatkan agar menunda ‘Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini kepada satu tarikh lain.

Dalam satu saranan, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mengadakan aktiviti hiburan menjelang bulan Ramadan seolah-olah melalaikan umat Islam daripada mengingati ALLAH.

Bagaimanapun, Wan Salim akui bahawa beliau tidak mendapat informasi penuh berkenaan konsert penyanyi nombor satu negara itu.