Pemilik, penyelia didenda RM12,000 jual mainan lucah

Seorang pemilik dan penyelia sebuah syarikat perniagaan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Seorang pemilik dan penyelia sebuah syarikat perniagaan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pemilik dan penyelia sebuah syarikat perniagaan menunjukkan 289 barang mainan lucah untuk dijual mengundang padah apabila mereka didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Seorang penyelia wanita berusia 57 tahun dan seorang lagi lelaki, 53, (pemilik) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, S Mageswary.

Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh ini dipenjara enam bulan, jika gagal membayar masing-masing RM6,000 denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara terbuka menunjukkan kepada awam, barang-barang lucah bagi tujuan penjualan, di sebuah premis di Jalan Sultan Ismail, di sini, pada jam 12.30 tengah hari, 8 Mei 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, ketika serbuan, pihak penguat kuasa dari Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya menjumpai 289 'toy seks party', cawan lucah, barang perhiasan dan alat penggetar di premis tersebut.

Pegawai penyiasat telah mendapatkan salinan maklumat perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkenaan dan didapati lelaki itu merupakan salah seorang pengarah syarikat yang menjual barang-barang lucah tersebut.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, B Sareeka manakala dua tertuduh ini diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Artikel Berkaitan: