50 tan makanan dibazirkan ketika Thaipusam setiap tahun - CAP

CAP menganggarkan sekurang-kurangnya 50 tan makanan dibuang setiap tahun ketika sambutan perayaan Thaipusam. Gambar kecil: Subbarow
CAP menganggarkan sekurang-kurangnya 50 tan makanan dibuang setiap tahun ketika sambutan perayaan Thaipusam. Gambar kecil: Subbarow
A
A
A

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Hindu Sangam Pulau Pinang menganggarkan sekurang-kurangnya 50 tan makanan dibuang setiap tahun ketika sambutan perayaan Thaipusam.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, NV Subbarow sehubungan itu menyarankan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan memberi makanan percuma kepada penganut Hindu nanti supaya tidak menyediakan makanan yang terlalu banyak bagi mengelakkan pembaziran.

"Setiap tahun, kita mendapati berlaku pembaziran makanan yang banyak ketika sambutan perayaan Thaipusam.

"Perkara ini boleh dielak sekiranya pemberi makanan percuma ini menyediakan dan memberikan makanan dalam kuantiti yang sedikit kepada pengunjung supaya makanan yang tersedia, boleh dihabiskan tanpa berlaku pembaziran," katanya pada sidang akhbar di Kebun Bunga di sini pada Jumaat.

Subbarow juga menggesa supaya semua pihak termasuk pihak kuil melarang penggunaan plastik dan bekas makanan polisterina sepanjang perayaan itu disambut pada 25 Januari nanti.

"NGO yang menyediakan makanan percuma ini, kebanyakannya menggunakan bekas, sudu, garfu dan cawan plastik kerana bagi mereka, ia memudahkan. Penggunaan barangan plastik yang banyak akan menyebabkan kerosakan alam sekitar.

"Mereka sepatutnya mengubah daripada penggunaan plastik kepada pinggan dan cawan kertas. Ini lebih selamat. Perlu diingat, plastik adalah satu bahan yang tidak boleh dikompos," katanya.

Beliau turut menggesa agar kerajaan menguatkuasakan larangan penggunaan plastik, bekas polistirena dan cawan plastik di seluruh negara.

Artikel Berkaitan: