465,004 pengguna Pulau Pinang alami gangguan bekalan air

Keadaan aiir di LRA Sungai Dua yang keruh dan berlumpur akibat bencana banjir di Baling, Kedah pada ketika ini. Gambar kecil: Pathmanathan
Keadaan aiir di LRA Sungai Dua yang keruh dan berlumpur akibat bencana banjir di Baling, Kedah pada ketika ini. Gambar kecil: Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN - Kira-kira 465,004 pengguna air di seluruh Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah sejak awal pagi Jumaat berikutan kejadian air keruh di Sungai Muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, kejadian air keruh dan berlumpur di Sungai Muda berlaku susulan bencana banjir di Baling, Kedah ketika ini.

Menurutnya, akibat daripada itu, PBAPP terpaksa mengurangkan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

"LRA Sungai Dua adalah LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang. Air terawatnya dibekalkan kepada kira-kira 465,004 pengguna air di Seberang Perai dan Pulau Pinang. Apabila kami mengesan air yang sangat keruh di muka sauk Lahar Tiang, PBAPP terpaksa mengurangkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda.

"Langkah ini telah menyebabkan pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua menurun sebanyak 30 peratus daripada purata 1019 juta liter sehari (JLH) kepada 715 JLH pada jam 9 pagi tadi (Jumaat)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, susulan daripada itu, bekalan air terawat kepada 70 peratus pengguna telah terjejas di George Town, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

"Di Georgetown, kawasan yang terjejas ialah Selatan Bukit Dumbar ke Balik Pulau (Pulau Betong, Bukit Penara, Pondok Upeh dan Bandar Balik Pulau). Di SPT pula, ia melibatkan kawasan selatan Rumah Pam Bukit Minyak) manakala di SPS, seluruh daerah tersebut terjejas.

"Pelan tindakan kecemasan (ERP) PBAPP telah diaktifkan sejak 4 petang semalam (Khamis) dan mereka sedang berusaha keras untuk memulihkan perkhidmatan bekalan air secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Kerja-kerja itu akan bermula 8 malam ini apabila pengeluaran di LRA Sungai Dua dijangka pulih sepenuhnya," katanya.

Jelas beliau, gangguan bekalan air tidak berjadual itu berlaku disebabkan faktor luaran yang berlaku di Kedah.

"PBAPP mengurangkan pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua awal hari ini (Jumaat) dengan mengambil kira keselamatan awam. PBAPP tidak boleh dan tidak akan membekalkan air terawat yang tidak selamat kepada rakyat Pulau Pinang.

"PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Kami melakukan yang terbaik untuk memulihkan bekalan air. Kami akan terus menyalurkan maklumat terkini mengenai situasi ini melalui halaman Facebook dan siaran media," katanya.