Penemuan 528kg dadah di Padang Besar bukan dalam kawasan FRIM

Ketua Pengarah FRIM, Dr Ismail Parlan. Foto Bernama
Ketua Pengarah FRIM, Dr Ismail Parlan. Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Penemuan dadah jenis syabu seberat 528 kilogram (kg) bernilai RM19 juta di Padang Besar yang dilaporkan media pada 15 Januari lepas, bukan berada di dalam kawasan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Ketua Pengarah FRIM, Dr Ismail Parlan dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pihak polis telah membuat soal siasat terhadap kakitangan FRIM pada Selasa lepas dan didapati lokasi sebenar kejadian itu adalah di luar kawasan Stesen Penyelidikan FRIM, Mata Ayer.

"FRIM ingin menjelaskan bahawa laporan media mengenai kes penyimpanan 20 guni dadah jenis syabu yang dikatakan berlaku di Kawasan Hutan Simpan Persekutuan (Forest Reserve Institute Malaysia) baru-baru ini adalah kurang tepat.

"Selain itu, nama penuh bagi FRIM bukan ‘Forest Reserve Institute Malaysia’ tetapi ‘Forest Research Institute Malaysia’ atau dalam bahasa Melayu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, FRIM amat menghargai peranan media dalam menyebarkan maklumat penting kepada masyarakat umum dan berharap pihak media akan membetulkan fakta berkenaan dalam laporan seterusnya berhubung kes itu.

"Pihak FRIM juga sentiasa bersedia untuk turut membantu pihak polis atas perkara berkenaan. Sebarang pertanyaan berkaitan FRIM, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat (CCU) FRIM 03-6279 7555/7458 atau melalui e-mel frim_ccu@frim.gov.my,” katanya.

Pada 15 Januari, media tempatan melaporkan polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis yang menggunakan kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Padang Besar sebagai lokasi transit selepas merampas 528 kg dadah jenis syabu bernilai RM19 juta pada 10 Januari lepas.

Memetik laporan itu, antara lain menyebut pemeriksaan di kawasan terbabit menemukan sebuah troli besi ditutupi ranting dan daun terbiar yang di dalamnya terdapat 20 guni berjahit mengandungi 480 bungkusan plastik teh cina disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu. - Bernama

Artikel Berkaitan: