Lelaki miliki 15 rekod jenayah ditahan bersama syabu lebih 4kg

Jasmin (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian rampasan dadah jenis syabu pada sidang media di IPD Tawau hari ini. Foto Bernama
Jasmin (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian rampasan dadah jenis syabu pada sidang media di IPD Tawau hari ini. Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 4.03 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM240,000 selepas menyerbu sebuah rumah di kawasan perumahan di Batu 3 Jalan Apas, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berumur 31 tahun itu ditahan pada pukul 5.55 petang ketika memegang satu plastik hitam yang berisi empat bungkusan plastik teh cina berwarna hijau bertulis 'Guanyinwang' dengan setiap bungkusan mengandungi bahan hablur disyaki Syabu.

"Suspek pengedar dadah itu kini direman hingga 26 Januari ini dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamine dan methamphetamine,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Selain syabu, polis turut merampas sebuah kereta milik suspek mengikut Seksyen 25(1) Akta Dadah Berbahaya Perlucutan Hak 1983.

"Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau termasuk dua mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pernah didakwa di mahkamah," tambahnya.

Sementara itu, Jasmin berkata syabu itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan rangkaian pengedaran dadah berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: