Ibu Orang Asli mualaf gagal ketepi perintah serah anak kepada bekas suami

Ibu Orang Asli mualaf gagal ketepi perintah serah anak kepada bekas suami
Ibu Orang Asli mualaf gagal ketepi perintah serah anak kepada bekas suami
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang ibu Orang Asli mualaf hari ini gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan perintah habeas corpus agar beliau menyerahkan anak perempuan berumur 10 tahun kepada bekas suaminya yang bukan Islam.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan wanita berumur 37 tahun itu.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Harmindar berkata, keterangan di hadapan mahkamah menunjukkan bahawa lelaki berusia 44 tahun itu adalah pemegang hak jagaan de facto bagi kanak-kanak perempuan tersebut selama empat tahun sehinggalah dia diambil oleh perayu.

Beliau juga berkata, mahkamah berpandangan keputusan hari ini tidak akan menjejaskan prosiding mengenai hak penjagaan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Harmindar turut memerintahkan agar identiti ibu bapa serta kanak-kanak terbabit dirahsiakan dan tidak disiarkan oleh mana-mana pihak.

Terdahulu, panel itu menolak permohonan wanita tersebut untuk mengemukakan bukti baharu.

Menerusi permohonannya, wanita itu mendakwa peguam yang mewakilinya di Mahkamah Tinggi adalah tidak kompeten.

Pada 25 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan permohonan habeas corpus bekas suami wanita itu dan mengarahkan agar kanak-kanak tersebut dikembalikan kepadanya sementara menunggu keputusan prosiding mengenai hak penjagaan di Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Peguam Datuk Bastian Vendargon, yang mewakili bekas suami wanita itu, memaklumkan mahkamah pasangan tersebut telah berkahwin mengikut adat pada 2013 dan isterinya kemudian memeluk agama Islam.

Beliau berkata, kanak-kanak itu telah dipelihara oleh bapanya yang juga seorang nelayan dengan bantuan ahli keluarga dan komuniti selama empat tahun selepas wanita tersebut meninggalkan rumah mereka.

Selepas dua tahun, Vendargon berkata, wanita itu memohon hak penjagaan anak di Mahkamah Syariah namun menarik balik permohonan atas alasan yang hanya diketahuinya dan mengambil tindakan sendiri dengan melarikan kanak-kanak tersebut sebelum memfailkan permohonan baharu bagi mendapatkan hak jagaan di Mahkamah Tinggi Sivil.

Beliau berkata, bekas suami wanita itu kemudian memfailkan permohonan habeas corpus.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili wanita itu, pula berhujah bahawa si bapa sepatutnya menunggu keputusan prosiding bagi hak penjagaan anak namun sebaliknya telah memfailkan permohonan habeas corpus.

Beliau berkata, wanita itu telah meninggalkan rumah bersama si anak dan si bapa kemudian datang melawat mereka serta meminta izin untuk membawa pulang kanak-kanak tersebut atas alasan seorang daripada ahli keluarganya meninggal dunia.

Bagaimanapun, selepas itu dia tidak pernah mengembalikan kanak-kanak tersebut kepada ibunya. - Bernama