Lelaki didakwa langgar kereta peronda, cederakan polis

Wan Khairul Aslam mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.
Wan Khairul Aslam mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan khianat dengan melanggar kereta peronda dan mencederakan anggota polis.

Tertuduh, Wan Khairul Aslam Wan Mat, 33, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan cara mengundur kereta dipandunya dan melanggar kereta dipandu Sarjan Muhammad Haniff Hashim sehingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan itu berjulah RM2,358.15 di Lorong Kekwa 11, Peringgit, di sini, kira-kira jam 4.45 pagi, pada 4 Januari lalu,

Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Khairul Aslam didakwa menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah kepada Lans Koperal Alif Danial Hermi yang sedang menjalankan kewajipan hingga menyebabkan pengadu cedera pada tarikh, masa dan di tempat sama.

Wan Khairul Aslam (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.
Wan Khairul Aslam (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine berat kasar 7.74 gram, di Jalan Solok Pantai Peringgit, Kampung Pantai Peringgit, di sini, pada tarikh dan masa sama iaitu kesalahan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun dan sebat antara tiga hingga sembilan sebatan.

Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 iaitu memberikan dadah methamphetamine kepada diri sendiri.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar mencadangkan jaminan RM24,000 bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh diwakili Peguam Ishak Mohd Kari merayu jaminan rendah kerana tertuduh seorang menyara keluarganya dengan hanya bekerja kampung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan selain menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.