'Sekali tanam, tiga kali tuai'

Sheikh Umar (kanan) menunjukkan nanas yang ditanam di ladang.
Sheikh Umar (kanan) menunjukkan nanas yang ditanam di ladang.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Konsep 'sekali tanam, tiga kali tuai' menjadi fokus utama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi meningkatkan industri nanas negara tahun ini.

Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, ia bertepatan dengan sasaran yang digariskan LPNM dalam kerangka merealisasikan tanaman nanas sebagai 'sumber kekayaan baharu' dalam sektor pertanian.

"Sekali tanam, tiga kali tuai membawa maksud tiga peringkat tuaian tanaman nanas. Pertama adalah buah, keduanya pula ialah benih dan ketiga, sisa.

"Ramai pengusaha nanas hanya menumpukan kepada tuaian pertama dan kedua. Sekiranya tuaian peringkat ketiga diambil kira (tuaian sisa), sebenarnya pekebun nanas mampu memperolehi pendapatan tambahan yang tidak kurang lumayan.

Sheikh Umar (dua dari kanan) melihat nanas segar MD2 untuk dieksport.
Sheikh Umar (dua dari kanan) melihat nanas segar MD2 untuk dieksport.

"Berdasarkan kajian Bahagian Strategik LPNM, pekebun mampu meraih sehingga RM37,000 setiap hektar hasil daripada jualan sisa nanas," ujarnya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, mengikut data di LPNM, satu ekar tanaman nanas boleh mengeluarkan sehingga lebih 50 tan sisa manakala bagi perkiraan kasar pula, satu tan sisa nanas boleh dijual pada kadar sehingga RM500 setiap tan.

"Jika kos pengurusan penanaman semula nanas untuk 0.4 hektar pada harga RM1.50 setiap pokok, hasil jualan sisa tadi sahaja pun sudah mampu menampung kos penanaman semula.

Artikel Berkaitan:

"Dengan erti kata lain, kos dapat dikurangkan, keuntungan dapat dilipat gandakan. Saya cukup yakin, usaha ini mampu dilaksanakan," katanya.

Jelasnya, LPNM akan meningkatkan usaha untuk memberikan pendedahan serta menarik minat pemain industri nanas yang baharu dan sedia ada untuk mengembangkan dan meningkatkan lagi industri ini

"Tambahan pula dengan kemunculan variety baharu SG1 misalnya, yang terbukti mampu menampung kepadatan tanaman nanas pada kadar minimum 22,000 pokok setiap ekar, akan menjadi 'game changer' untuk masa depan industri nanas di Malaysia.

Sheikh Umar (kiri) melihat sulur atau benih nanas yang dikeluarkan dari pokok induk yang merupakan 'tuaian kedua', boleh menjana pendapatan buat pekebun nanas.
Sheikh Umar (kiri) melihat sulur atau benih nanas yang dikeluarkan dari pokok induk yang merupakan 'tuaian kedua', boleh menjana pendapatan buat pekebun nanas.

"Selain itu, tempoh tuaian lebih singkat SG1 pada kadar sembilan bulan berbanding purata 14 bulan bagi nanas MD2 misalnya, mampu melipat gandakan pengeluaran hasil nanas tanah air.

"Pada awal tahun ini, SG1 yang mula diperkenalkan di Sarawak akan mula dibawa masuk ke Semenanjung tanah air untuk rangka perluasan tanaman dan juga produk hiliran," katanya.

Oleh itu, Sheikh Umar berkata, dengan segala potensi dan peluang yang terbentang luas ini, LPNM yakin dan percaya hasrat permintaan eksport negara.

" Untuk rekod, kadar eksport nanas Malaysia pada ketika ini ialah 800 kontena setiap tahun berbanding keseluruhan permintaan 4000 kontena.

"Saya yakin LPNM akan memenuhi permintaan eksport sehingga 1,000 kontena seperti mana dilontarkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.

"Kesungguhan menjadikan industri nanas sebagai salah satu daripada empat fokus utama tahun 2024 amat kami hargai dan LPNM sebagai agensi KPKM bertekad untuk terus berkerja kuat bagi menjayakan misi ini," katanya.