Lapan fokus utama belanjawan Melaka 2024 - Ab Rauf

Ab Rauf (dua dari kiri) ketika sesi Town Hall Belanjawan 2024 Negeri Melaka di Ayer Keroh pada Isnin.
Ab Rauf (dua dari kiri) ketika sesi Town Hall Belanjawan 2024 Negeri Melaka di Ayer Keroh pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Belanjawan Melaka 2024 yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan akan memfokuskan untuk merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, lapan tumpuan utama akan diberikan perhatian bagi melonjakkan tahap pencapaian ekonomi, menjana pertumbuhan yang lebih rancak dan mewujudkan kesejahteraan sosial serta memastikan masyarakat khususnya golongan B40 dilindungi.

Menurutnya, fokus itu termasuk membangunkan pusat kecemerlangan Pendidikan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyediakan tenaga kerja kepada industri-industri yang membuat pelaburan di negeri ini.

"Selain itu, tidak ketinggalan memperkasa sektor pelancongan melalui penganjuran Tahun Melawat Melaka (TMM)2024, negeri mesra pelabur, perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan dan menyegerakan pendigitalan 4G dan 5G.

"Prestasi anak syarikat kerajaan negeri juga akan ditingkatkan, memperkasakan inisiatif di bawah pentadbiran Ketua Menteri serta membudayakan seni, warisan dan budaya negeri Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Town Hall Belanjawan 2024 Negeri Melaka di Ayer Keroh pada Isnin.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari.

Jelasnya, menerusi Town Hall berkenan pihaknya akan mendapat maklum balas daripada semua lapisan masyarakat dan pemain industri untuk menilai kehendak serta keperluan yang akan dipertimbangkan dalam tempoh dua bulan demi kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Fokus kita juga ke arah penyaluran peruntukan bagi memastikan pembangunan ekonomi yang lestari tanpa berlaku sebarang pembaziran dan pembangunan yang sia-sia," katanya.