Maszlee perlu diberi peluang sehingga tamat penggal Parlimen

Mohd Azizee
Mohd Azizee
A
A
A

SEREMBAN - Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berpendapat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlu diberi peluang untuk terus berkhidmat sehingga tamat penggal Parlimen bagi membolehkan beliau membuktikan komitmen memajukan sistem pendidikan negara.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan bagaimanapun berkata, keputusan meletakkan jawatan mungkin sebagai menutup pintu desakan dan tekanan dari dalam atau luar terhadap kerajaan sedia ada.

“Kita harap Perdana Menteri dapat memilih calon yang sesuai menggantikan Dr Maszlee yang dapat membawa aspirasi pendidikan negara dan menangani isu kontroversi yang dibangkitkan dari kelompok cauvinis,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Menurutnya, iGuru menghargai reformasi pendidikan yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terutama dalam soal menangani isu beban tugas guru.

Beliau berkata, antara perkara lain yang diberi perhatian penting ialah isu sekolah daif, menghapuskan rasuah dalam kementerian itu, peningkatan bajet pendidikan dan menekankan pendidikan keinsanian.

“Isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sekolah vernakular tidak diurus dengan baik menyebabkan persepsi terhadap beliau serta reputasinya tergugat.

“Hakikat lain yang kita perlu diterima ialah KPM sering menjadi kontroversi kerana banyak isu tertangguh dan kontroversi,” katanya.

Katanya, iGuru berpendapat perubahan menteri tidak akan menjejaskan dasar pendidikan sedia ada tetapi ke arah mengukuhkan lagi sistem pendidikan negara.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama katanya, ia dapat mengurangkan tentangan daripada pihak yang menimbulkan tindakan yang menggugat dasar dan polisi KPM.

“Perkara paling penting kita harap warga pendidik terus komited dan bersungguh-sungguh menjayakan aspirasi pendidikan negara tanpa mengira latar belakang kaum.

“Ini kerana nasib rakyat boleh berubah melalui pendidikan yang terbaik dan berkualiti yang disediakan di sesebuah negara,”katanya.