[VIDEO] Hanya satu sekolah, berkhidmat sehingga bersara

Zalina ketika majlis persaraannya pada Jumaat. - Foto Unit Media SMK Palong 7 (F).
Zalina ketika majlis persaraannya pada Jumaat. - Foto Unit Media SMK Palong 7 (F).
A
A
A

JEMPOL - Berkhidmat hanya di satu sekolah sehingga bersara merupakan rezeki dan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh seorang Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Palong 7 (F) di sini.

Zalina Ismail, 56, mula berkhidmat di SMK Palong 7 (F) pada 16 Julai 1992 dan akan menamatkan perkhidmatan secara rasmi pada 28 Mei ini selepas lebih 30 tahun menjadi pendidik.

Zalina berkata, sekolah ini merupakan penempatan pertamanya dan mengajar subjek Matematik Tambahan sebelum diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan lain.

Zalina (duduk, tengah) bersama guru dan pelajarnya pada majlis persaraannya.
Zalina (duduk, tengah) bersama guru dan pelajarnya pada majlis persaraannya.

"Ia termasuklah memangku Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Guru Kanan Mata Pelajaran Sains Matematik dan Guru Kanan Ko-Kurikulum sebelum menjadi Guru GPK HEM," katanya ketika ditemui pemberita di majlis persaraannya pada Jumaat.

Beliau yang mesra dipanggil Bonda berkata, sepanjang tempoh berkenaan beliau pernah mendapat tawaran untuk mengajar di sekolah lain, namun menolaknya berikutan mahu terus mencurahkan baktinya di situ.

"Alhamdulillah rezeki saya masih di sini, jadi peluang ini saya gunakan sebaiknya supaya anak-anak (pelajar) mampu menguasai subjek yang saya ajari dan menjadi orang yang beradab lagi cerdik.

"Saya juga agak garang, sebab saya mahu mereka (pelajar) berjaya dan ketahuilah saya sayang semua pelajar saya sampai bila-bila," katanya yang merupakan anak peneroka Felda Palong 3.

Zalina turut memberikan duit raya kepada pelajarnya pada majlis persaraannya pada Jumaat.
Zalina turut memberikan duit raya kepada pelajarnya pada majlis persaraannya pada Jumaat.

Sementara itu, bekas pelajar juga rakan sekerja Zalina, Nor Rafiah Hussin, 34, berkata,walaupun Bonda seorang yang garang namun beliau penyayang selain merupakan guru 'favorite' kebanyakan pelajar.

"Saya sendiri pernah dimarahi dan merasa juga dicubit sehingga sanggup menyorok bawah meja gara-gara subjek Matematik Tambahan, tetapi Alhamdulillah saya menjadi 'orang' akhirnya.

"Bonda antara guru yang paling lama berkhidmat di sekolah ini dan ada dalam kalangan anak-anak bekas pelajarnya juga menjadi pelajarnya," katanya.