Lebih ramai mati kelaparan berbanding perang di Gaza

Lebih ramai penduduk di gaza berkemungkinan mati akibat kebuluran berbanding peperangan. Foto AFP
Lebih ramai penduduk di gaza berkemungkinan mati akibat kebuluran berbanding peperangan. Foto AFP
A
A
A

DAVOS - Lebih ramai penduduk di gaza berkemungkinan mati akibat kebuluran berbanding peperangan.

Perkara ini disuarakan pengerusi dana pelaburan Palestin, Mohammed Mustafa di Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Beliau menambah, masyarakat antarabangsa perlu bergerak pantas untuk mengelak senario sedemikian, sambil berkata penyelesaian politik melalui penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat sebagai satu keperluan segera.

"Saya fikir penyelesaian politik adalah satu kemestian sekarang. Saya tidak fikir seseorang boleh mengelak tetapi melihat fakta dan faktanya penyelesaian ketenteraan tidak akan menyelesaikan masalah.

"Pendudukan tidak boleh diteruskan, tiada orang akan menerima untuk ditindas dengan cara rakyat Palestin telah ditindas. Jadi sudah tiba masanya untuk atasi punca masalah dan punca masalah adalah pendudukan.

"Kita perlu menamatkan penjajahan Israel ke seluruh bumi palestin, bukan sahaja di Gaza, tetapi juga di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dan membenarkan rakyat Palestin membina negara mereka sendiri yang berdaulat dan merdeka," katanya.

Beliau turut mendesak Israel membantu merealisasikan matlamat negara Palestin untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran mereka sendiri.

Beliau menyifatkan ia merupakan itu satu-satunya pilihan yang ada untuk mereka adalah membantu rakyat Palestin, negara jirannya hidup dengan aman dan sejahtera.

Artikel Berkaitan:

Peperangan itu telah menyebabkan kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza meninggalkan rumah mereka, sebahagian daripada mereka beberapa kali dan menyebabkan krisis kemanusiaan, dengan bekalan makanan, bahan api dan perubatan semakin berkurangan.

Setakat ini, serangan Israel telah membunuh lebih 24,000 orang dan mencederakan hampir 61,000 mangsa.

Undang-undang antarabangsa tidak dipatuhi di Gaza - Guterres

Dalam perkembangan sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan pihak yang terlibat dalam konflik di Gaza tidak mematuhi undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres menggesa semua pihak melaksanakan gencatan senjata dan menghantar bantuan kemanusiaan segera di wilayah Palestin itu.

Bercakap di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Guterres berkata, pihak yang bertelagah itu "mengabaikan undang-undang antarabangsa, konvensyen Geneva malah melanggar piagam PBB".

Tegasnya, orang awam kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dibunuh, dicacatkan, dibom, dipaksa keluar dari rumah mereka dan dinafikan akses kepada bantuan kemanusiaan.

Justeru beliau mengulangi gesaan untuk gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza dan satu proses yang membawa kepada keamanan berterusan untuk Palestin dan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menolak gesaan untuk gencatan senjata.

Pengeboman dan serangan darat Israel di kawasan Palestin telah mengusir kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza dari rumah mereka.

Ia juga telah menyebabkan krisis kemanusiaan yang serius kerana penghantaran makanan, bahan api dan bekalan perubatan telah dihadkan.

Tentera Israel baru-baru ini menumpukan serangannya di hujung selatan enklaf, di mana hampir 2 juta orang berteduh di khemah. - Awani