PWM bantah tindakan DBKL ceroboh masuk premis

Yazid (tengah) pada sidang akhbar di Rumah PWM pada Rabu. - FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Yazid (tengah) pada sidang akhbar di Rumah PWM pada Rabu. - FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) menyelar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menceroboh dan merobohkan khemah 'marquee' dan binaan di kawasan premis PWM di Jalan Titiwangsa dekat sini pada 11 Januari lalu.

Presidennya, Datuk Yazid Othman berkata, tindakan DBKL meroboh khemah dan binaan di dalam kawasan premis persatuan itu tanpa notis adalah melampau dan tidak bertanggungjawab.

Yazid
Yazid

Menurutnya, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mentadbir ibu negara, tindakan DBKL itu amat memalukan.

“Sebenarnya khemah yang dipasang adalah sebagai persediaan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kami jemput untuk merasmikan rumah PWM yang baharu sahaja kami peroleh dari Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Saya juga dah maklumkan secara bertulis kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur memaklumkan tentang program yang akan berlangsung dan meminta kerjasama DBKL unutk mengindahkan lagi lokasi program namun lain jadinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas berkenaan pencerobohan yang dibuat ke atas premis milik PWM pada Rabu.

Turut hadir Setiausaha Agung PWM, Datuk Dr Hassan Saad.

Artikel Berkaitan:

Yazid berkata, pihaknya turut berdukacita kerana pecerobohan yang dilakukan penguat kuasa PBT itu tidak mengikut lunas undang-undang kerana persatuan langsung tidak dihubungi ketika kerja-kerja meroboh dilakukan.

“Sebaliknya jiran-jiran yang maklumkan baru kami tahu DBKL dah masuk dengan jengkaut dan anggotanya, persoalannya apa salah kami pasang khemah 'marquee' dalam kawasan sendiri ?

“Tindakan DBKL masuk ke dalam kawasan kami tanpa sebarang waran atau notis jelas ia satu tindakan jenayah.

Yazid dan ahli jawatankuasa PWM meninjau tapak khemah 'marquee' yang dirobohkan DBKL tanpa notis. - FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Yazid dan ahli jawatankuasa PWM meninjau tapak khemah 'marquee' yang dirobohkan DBKL tanpa notis. - FOTO: MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

“Disebabkan itu kami terpaksa menanggung kos kerugian berjumlah lebih RM900,000 kerana khemah 'marquee'' yang ditaja rosak manakala tandas yang dibina untuk kemudahan program juga dimusnahkan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap PBT itu, Yazid berkata, PWM memberi tempoh kepada DBKL untuk membayar kos tuntutan ganti rugi serta memohon maaf terhadap kelalaian itu.

“Saya sendiri akan membuat laporan polis sebelum merangka tindakan tegas termasuk mengambil tindakan saman terhadap PBT itu.

“PWM yakin ada sesuatu yang tidak kena dengan tindakan PBT itu menceroboh dan memusnahkan khemah 'marquee' dan tandas yang sedang dalam pembinaan dalam kawasan premis sendiri, bukan di atas jalan atau laluan awam.

“Jadi akta apa yang PBT itu gunakan, kami tak buang bising, kami tak berniaga apa-apa kami buat untuk persediaan program sahaja salahkah,” ujarnya.

Jelasnya, jika sekalipun tak dibenarkan khemah dipasang, DBKL boleh maklum pada PWM untuk membuka khemah itu tetapi ia tidak berlaku.