DBKL gempur 44 premis dikendali warga asing

Penutupan premis dikendalikan warga asing dalam Operasi Bersepadu (Tebah) yang dijalankan di sebuah pasar raya pada Selasa.
Penutupan premis dikendalikan warga asing dalam Operasi Bersepadu (Tebah) yang dijalankan di sebuah pasar raya pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - DBKL menutup 44 premis yang dikendalikan oleh warga asing dalam Operasi Bersepadu (Tebah) yang dijalankan di sebuah pasar raya di sini pada Selasa.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan penguatkuasaan itu dijalankan di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 217 premis telah diperiksa dan 51 notis kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan dikesan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen, penggajian warga asing dan melanggar syarat lesen di bawah UUK Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan selepas ini terus kepada pemilik premis warga tempatan bagi pengesyoran penamatan dan pembatalan lesen perniagaan berikutan membenarkan warga asing mengendalikan aktiviti perniagaan mereka tanpa kebenaran sah," kata kenyataan itu pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, operasi itu mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut kenyataan itu, seramai 29 pekerja asing dari Bangladesh (22), Indonesia (3), Pakistan (3) dan Myanmar (1) telah ditahan oleh JIM kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri menerusi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kata kenyataan itu, dalam operasi sama SSM mengeluarkan 92 notis kompaun pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang berkaitan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (64 notis) dan Akta Syarikat 2016 (28 notis).

Artikel Berkaitan:

"Sementara JPN, telah membuat 42 semakan dan teguran terhadap individu / pengendali perniagaan berkaitan penggunaan Kad Pengenalan yang sah berdaftar atau meragukan menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959.

"Operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di semua lokasi tumpuan melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan dikendalikan oleh warga asing," kata kenyataan itu.