Keyakinan Antonsen terhadap Zii Jia, Tze Yong

Ander Antonsen. Foto Bernama
Ander Antonsen. Foto Bernama
A
A
A

DUA pemain perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong akan kembali semula ke prestasi terbaik masing-masing selepas permulaan hambar musim ini.

Itu keyakinan juara Terbuka Malaysia, Anders Antonsen dari Denmark ketika diminta mengulas prestasi dua pemain tersebut dalam kejuaraan Super 1000 berkenaan.

“Sejujurnya saya tidak mempunyai banyak nasihat khas untuk Zii Jia mahu pun Tze Yong. Mereka berdua merupakan pemain terbaik pada masa ini, dan saya percaya mereka akan bertambah lebih baik pada masa depan.

“Situasi yang mereka lalui sekarang merupakan fasa naik turun seperti yang saya dan pemain-pemain badminton lain lalui sebelum ini,” katanya baru-baru ini.

Sebagai rekod, Zii Jia mengakhiri saingan Terbuka Malaysia lebih awal apabila tewas 21-16, 19-21, 15-21 kepada pemain China, Lu Guang Zu, pada pusingan pertama di Arena Axiata yang juga penyingkiran awal ketiga berturut-turut pemain nombor 10 dunia tersebut.

Pemain dari Alor Setar, Kedah itu sebelum ini tewas kepada pemain Indonesia, Shisar Hiren Rhustavito pada pusingan kedua pada 2022 dan 21-13, 17-21, 19-21 kepada Kodai Naraoka dari Jepun pada pusingan pembukaan tahun lalu.

Bintang berusia 25 tahun itu juga Zii Jia tersingkir awal edisi 2019, apabila tewas kepada pemain Thailand Suppanyu Avihingsanon 17-21, 21-19, 15-21 pada pusingan pertama.

Sementara itu, Tze Yong pula lebih malang apabila apabila terpaksa menarik diri dari pusingan pertama Terbuka Malaysia apabila mengalami kecederaan belakang.

Artikel Berkaitan:

Pemain nombor 14 dunia itu hanya sempat beraksi 13 minit menarik diri ketika ketinggalan set pertama 8-11 semasa menentang pemain Jepun, Koki Watanabe.

Antonsen yang juga berstatus nombor tujuh dunia itu menitipkan nasihat kepada segelintir komuniti badminton agar tidak memberi tekanan berlebihan kepada kedua-dua pemain tersebut.

“Jangan terlalu memberikan tekanan kepada mereka kerana ada masa prestasi masing-masing berada pada tahap terbaik. Namun ada masa berlaku kecederaan atau sebaliknya yang menjejaskan prestasi mereka, kita tidak tahu dan itulah kehidupan,” katanya.

Sebagai rekod, Antonsen mencipta sejarah tersendiri apabila menumpaskan jaguh China, Shi Yu Qi, straight set 21-14, 21-13 dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia.