AJK Pas tolak dakwaan rasis, patung Buddha terbesar ada di Kelantan

Halimah
Halimah
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menolak dakwaan segelintir pihak bahawa parti itu bersikap rasis dan kononnya hanya menjaga kepentingan kaum Melayu dan agama Islam sahaja.

Sebaliknya, menurut Ahli Jawatakuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali menegaskan, parti itu mengamalkan sikap keadilan kepada semua kaum dan saling bertoleransi terhadap bukan Melayu.

Katanya, perkara itu seperti mana yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Pas.

"Perlembagaan Pas bab tiga fasal enam, (kesembilan) menyatakan bahawa memperjuangkan hak dan kepentingan agama Islam, di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab dan melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia, dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

"Seperti kewujudan kempen 'Pas For All', pada masa itu kita bermula dengan beberapa individu bukan Melayu, yang apabila cukup bilangannya kita wujudkan Kelab Penyokong Pas.

"Apabila mereka semakin ramai di seluruh negara termasuk Sarawak, bila cukup bilangan diwujudkan pula Dewan Himpunan Penyokong Pas dan sekarang ini telah menjadi Dewan Himpunan Pendukung Pas.

"Lihat di sini kita turut memikirkan tentang kebajikan bukan Melayu," katanya ketika menjadi panel pada Wacana Sinar yang bertajuk Jangan Jadi Politik Perkauman pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Pensyarah Sains Politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Jayum Jawan dan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al-Rashid Haron manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut memberi contoh mengenai sikap Pas di negeri Kelantan, meskipun telah memerintah sudah lama di negeri tersebut, pendekatan digunakan parti itu sangat disenangi oleh rakyat bukan Melayu di negeri Cik Siti Wan Kembang.

"Pas memerintah Kelantan sudah 34 tahun. Cuba kita lihat di negara ini, patung Buddha yang paling besar di Asia Tenggara ada di Kelantan, ada yang berdiri, ada baring dan yang mengiring semua di Kelantan.

"Ada yang Buddha Siam dan Buddha Cina, (sedangkan populasi) bukan Melayu berapa orang sahaja peratusan di Kelantan.

"Kalau Pas tidak menghormati dan meraikan kepercayaan budaya dan entiti bukan Melayu ini, sudah tentulah dalam 34 tahun ini (apa-apa boleh berlaku)," katanya.

Sementara menyentuh suasana di Selangor, katanya, Pas di negeri itu mendekati masyarakat bukan Melayu dengan pendekatan yang lebih mesra dalam suasana yang lebih kerap.

"Seperti ungkapan 'tak kenal, maka tak cinta', orang bukan Melayu ini takut kepada Pas, menjauhi dan fobia kepada Pas dan sebagainya sebab mereka mendengar cerita yang pelik-pelik.

"Lihat orang bukan Melayu di Kelantan boleh sambut Tahun Baharu Cina tak, ada kuil tak, ada gereja tak di Kelantan?

"Semua itu ada, jadi jika di Kelantan ada sedangkan kita majoriti dan lama (memerintah), takkanlah di Selangor, Sabah dan Sarawak kita tidak boleh raikan," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!