Isu berbaur perkauman tak patut keluar dari mulut negarawan

Jayum
Jayum
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sensitif berbaur perkauman.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Jayum Jawan berkata, kenyataan yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen Langkawi itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Apa yang dikatakan Tun M bukan satu perkara yang sepatutnya keluar dari mulut negarawan.

"Beliau bukan sahaja dikenali di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Saya rasa itu (kenyataan Dr Mahathir) amat malang dan dikutuk,” katanya ketika Wacana Sinar Siri 428 yang bertajuk ‘Jangan Sampai Jadi Politik Perkauman’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Jayum (dua dari kiri) mendedahkan masalah politik yang tidak berkesudahan di Semenanjung Malaysia berpunca daripada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.
Jayum (dua dari kiri) mendedahkan masalah politik yang tidak berkesudahan di Semenanjung Malaysia berpunca daripada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Program dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali dan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al-Rashid Haron.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Dr Mahathir mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana mereka masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai situasi politik Malaysia, Jayum berkata, kebelakangan ini negara berhadapan dengan terlalu banyak pertikaian membabitkan politik.

Beliau mendedahkan bahawa keadaan politik kini berada pada tahap yang membahayakan.

“Selama ini politik Malaysia memang politik berasaskan kepada kaum tetapi tidak sampai ke tahap begini.

“Masalah ini berlaku mungkin berpunca daripada sistem pentadbiran Malaysia.

"Kalau kita lihat kepada demografi politik, kita tidak banyak kawasan campuran (pengundi yang terdiri daripada Melayu, Cina, India),” ujarnya.

Jayum berkata, masalah politik yang tidak berkesudahan itu berpunca daripada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Jelasnya, disebabkan mahu mendapatkan kemerdekaan daripada British, kaum Melayu, Cina dan India berpura-pura untuk menyakinkan penjajah bahawa mereka boleh bekerjasama.

Bagaimanapun, Jayum memaklumkan masalah politik perkauman itu boleh diselesaikan jika mempraktikkan corak politik di Sabah dan Sarawak kerana tidak mempunyai mana-mana kaum yang mendominasi negeri berkenaan.

Beliau berkata, pentadbiran Sarawak dibentuk melalui kerajaan campuran yang sekurang-kurangnya terdiri daripada dua kaum.

“Ia bukan seperti di Semenanjung Malaysia.

"Di Semenanjung ini, Melayu sahaja boleh tubuh kerajaan tidak perlu Cina atau India.

“Kerajaan itu boleh ditegakkan kerana 165 kerusi di Semenanjung dan 125 kerusi daripadanya majoriti milik Melayu,” ujarnya.