Selepas masjid, surau pula terbakar

Anggota polis melakukan siasatan di Surau Ar-Raudah, Parit Bangas, Sri Medan, Batu Pahat yang terbakar pada malam Isnin. Foto IPD Batu Pahat
Anggota polis melakukan siasatan di Surau Ar-Raudah, Parit Bangas, Sri Medan, Batu Pahat yang terbakar pada malam Isnin. Foto IPD Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT - Hanya dalam masa sehari selepas Masjid Kampung Parit Simis di Sri Medan di sini terbakar dipercayai angkara khianat, Surau Ar-Raudah di Parit Bangas pula musnah dalam kebakaran pada malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kebakaran di surau itu berlaku pada jam 10 malam sehingga memusnahkan pelbagai barang termasuk permaidani, perabot dan pendingin hawa termasuk sistem pendawaian musnah sama sekali.

Kebakaran di Surau Ar-Raudah di Parit Bangas, Sri Medan, Batu Pahat yang musnah dalam kebakaran pada malam Isnin.
Kebakaran di Surau Ar-Raudah di Parit Bangas, Sri Medan, Batu Pahat yang musnah dalam kebakaran pada malam Isnin.

"Kejadian ini disedari seorang penduduk yang kebetulan melalui lokasi terbabit. Kebakaran itu berjaya dipadamkan 15 minit kemudian dengan bantuan penduduk berhampiran.

"Ini adalah kebakaran kedua berturut-turut membabitkan masjid dan surau di Sri Medan. Justeru polis menyiasat kedua-dua kejadian berkenaan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, Masjid Kampung Parit Simis yang baru siap dibina pada November 2022 mengalami kerosakan teruk dengan kerugian dianggarkan berjumlah lebih RM150,000 akibat kebakaran yang disedari pada jam 10.46 malam.

Pengerusi masjid itu, Mat Sunari Paiman dipetik berkata, pihak bomba yang menjalankan siasatan memaklumkan menemui kesan petrol di bawah permaidani, selain lidi penyapu yang dipercayai digunakan untuk menyalakan api.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima laporan kejadian surau terbakar itu pada jam 11.38 malam Isnin.

Artikel Berkaitan:

Permaidani, perabot dan pendingin hawa termasuk sistem pendawaian musnah dalam kebakaran di Surau Ar-Raudah. Foto bomba Johor
Permaidani, perabot dan pendingin hawa termasuk sistem pendawaian musnah dalam kebakaran di Surau Ar-Raudah. Foto bomba Johor

Menurutnya, seramai 18 anggota dari BBP Yong Peng dan BBP Penggaram dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran telah memusnahkan 40 peratus daripada keseluruhan surau tersebut. Insiden tidak melibatkan mangsa. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya bersyukur kerana kebakaran di masjid dan sura berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, sekiranya kebakaran itu melibatkan perbuatan khianat, mereka yang bertanggungjawab perlu diheret ke muka pengadilan.

"Jika melibatkan isu pendawaian elektrik, saya akan pastikan semua masjid surau di Johor diperiksa segera supaya kejadian buruk akibat masalah pendawaian elektrik yang mungkin sudah terlalu lama di satu-satu masjid surau itu segera dibaik pulih," tulis beliau dalam Facebook miliknya.

Bahagian dalam Surau Ar-Raudah di Parit Bangas, Sri Medan, Batu Pahat yang terbakar dalam kebakaran pada malam Isnin.
Bahagian dalam Surau Ar-Raudah di Parit Bangas, Sri Medan, Batu Pahat yang terbakar dalam kebakaran pada malam Isnin.

Katanya, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membantu daripada segi kewangan bagi menampung kos baik pulih selain derma orang ramai turut diharapkan bagi membantu menyegerakan proses baik pulih.