Masjid, surau di Perak adakan solat hajat untuk rakyat Palestin esok

Saarani (duduk, kiri) melayani aduan rakyat ketika Program Mesra Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri ke-9 di Stadium Indera Mulia pada Khamis.
Saarani (duduk, kiri) melayani aduan rakyat ketika Program Mesra Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri ke-9 di Stadium Indera Mulia pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Semua masjid dan surau diri Jumaat di negeri akan mengadakan solat hajat khusus untuk keselamatan serta perlindungan buat umat Islam di Palestin selepas solat Jumaat, esok.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, arahan akan dikeluarkan untuk semua masjid dan surau diri Jumaat untuk melaksanakan solat hajat berkenaan.

"Kita akan beritahu esok seluruh masjid. Kita akan maklumkan kepada pengerusi masjid seluruh negeri adakan solat hajat untuk rakyat Palestin selepas solat Jumaat.

"Untuk kutipan sumbangan khas kepada rakyat Palestin kita belum buat keputusan namun, Perak SADC (Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak) akan menyumbang RM100,000 untuk tabung Palestin," katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri ke-9 di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Pada 9 Oktober lalu, masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur mengadakan solat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Palestin selepas solat Isyak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut diminta untuk melakukan solat hajat pada tarikh dan waktu yang sama.

Mengenai Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, Saarani berkata, sehingga siri kelapan, sebanyak 1,121 aduan daripada 1,013 aduan diterima telah diselesaikan manakala baki sebanyak 10 peratus lagi masih di dalam tindakan.

Menurutnya, penganjuran pada siri kesembilan sebanyak 187 aduan telah diterima melibatkan 69 kaunter khidmat pelanggan merangkumi ketua jabatan dan agensi negeri bersama-sama Menteri Besar dan barisan Exco menyantuni pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sempena program berkenaan Bulan Inovasi Peringkat Negeri Perak turut dilancarkan sebagai simbolik permulaan ke arah Sambutan Inovasi Peringkat Negeri Perak yang dijadualkan akan berlangsung pada 1 November 2023.

"Pelbagai pengisian telah disusun untuk merancakkan lagi agenda inovasi di peringkat negeri, sama ada dalam kalangan penjawat awam, pelajar sekolah mahupun peringkat setempat. Sempena pelancaran hari ini, 24 buah sekolah rendah dan menengah dari seluruh negeri telah mempamerkan projek inovasi yang dihasilkan mereka.

"Saya teruja melihat kesungguhan para pelajar dalam mencetuskan idea yang inovasi dan kreatif bagi menyelesaikan permasalahan seharian," katanya.

Dalam majlis itu, Saarani turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Usahawan Perak (GeRAK) dan Geran Pembangunan dan Peningkatan Rekabentuk Pembungkusan Produk Usahawan Perak 2023.

Menurutnya, GeRAK merupakan bantuan geran percuma berbentuk peralatan dan bukan peralataan bagi membantu usahawan terlibat meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengeluaran usahawan dengan menyasarkan 900 orang penerima dari seluruh negeri.

Geran Pembangunan dan Peningkatan Rekabentuk Pembungkusan Produk Usahawan Perak 2023 pula merupakan geran peningkatan dan menambahbaik pembungkusan produk usahawan terpilih. Inisiatif ini juga akan membantu usahawan memasarkan produk mereka dengan lebih efisien.