Peniaga lokal ambil peluang gerakan boikot

Angkara boikot, restoran yang ada kaitan dengan Zionis kehilangan sebahagian pelanggan. Foto hiasan 123RF
Angkara boikot, restoran yang ada kaitan dengan Zionis kehilangan sebahagian pelanggan. Foto hiasan 123RF
A
A
A

TIADA perkataan mampu menggambarkan perasaan amarah penulis terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel terhadap penduduk Gaza.

Sejak 7 Oktober 2023, ribuan hantaran berkaitan kekejaman Zionis penulis kongsi di Facebook peribadi. Sehinggakan dua kali dikenakan ‘restricted’ konon ‘community standards violations’ atau ‘against our reccomendation guidelines’.

Ada akaun pemilik lain lebih lantang terus dipadamkan secara kekal. Itu harga yang perlu dibayar, namun tidak dapat menyaingi derita saudara kita di Palestin.

Sehingga 1 Januari 2024, jumlah kematian penduduk Gaza akibat serangan Israel mencecah 22,000, jumlah itu termasuk 9,100 kanak-kanak maut.

Pada Ahad lalu genap 100 hari pengeboman, ramai yang masih memboikot produk-produk yang mempunyai hubungan dengan Israel tanda ‘protes’ terhadap kekejaman Israel ke atas bumi Gaza, Palestin.

Baru-baru ini, CNN melaporkan tiga jenama gergasi dunia mengalami kejatuhan di pasaran saham dunia akibat boikot strategik yang dilakukan oleh hampir keseluruhan rakyat di dunia.

Menurut jutawan internet juga jururunding perniagaan internet dan ikon usahawan muda, Noor Irfan Khairy Noor Azmi, untuk sesebuah syarikat besar mengalami kerugian, tidak memerlukan 100 peratus boikot.

Tidak juga memerlukan 50 peratus pengguna berhenti menggunakan produk mereka. Memadai keuntungan jatuh 10 peratus, sudah cukup memberi impak besar kepada organisasi.

Artikel Berkaitan:

Susulan gerakan boikot, jualan produk perniagaan makanan dan minuman (F&B) tempatan seperti Richiamo Coffee, Marrybrown dan GTR Burger mencatatkan peningkatan jualan sehingga 40 peratus.

Pun begitu, sesetengah tempat sudah mula ‘kendur’ semangat boikot. Seolah-olah kembali dengan rutin kehidupan masing-masing sedangkan genosid terhadap wanita dan kanak-kanak Gaza makin parah.

Mungkin pengguna mula ‘rindukan’ produk-produk yang sudah sebati dengan diri kerana terbiasa sejak lahir.

Sistem tubuh badan penulis sendiri mengalami gangguan apabila diserang sakit kepala dan loya-loya ketika berjihad kecil menukar ke jenama minuman kopi yang lain.

Produk-produk pro-Israel diakui sangat memenuhi cita rasa hingga sukar untuk kekal boikot. Penulis tertanya-tanya kenapa produk tempatan tidak dapat menandinginya. Bukan tidak ada langsung, ada, tetapi masih terlalu sedikit jumlahnya.

Jadi, tidak hairan jika momentum boikot berubah lemau. Itu perihal rasa, lain pula bab pembungkusan atau etika dalam berniaga.

Penulis lalui pengalaman di sebuah pasar raya. Sedang mencongak-congak mana-mana satu produk bukan pro-Israel, penulis terpandang satu produk lokal dengan iklan ‘beli produk percuma bekas cantik.’

Selesai bayar, nak tuntut hadiah, tetapi pelayan kaunter beritahu bekas dah habis. Penulis terfikir, oh bagusnya mungkin ramai yang beli produk itu. Malangnya, sangkaan meleset.

“Pembekal hanya hantar tiga bekas,” tambah pelayan kaunter lagi. Penulis kecewa.

Peluang terhidang susulan daripada boikot tetapi tidak dimanfaatkan atau direbut usahawan tempatan sepenuhnya untuk melonjakkan perniagaan masing-masing supaya lebih ‘dipandang’ oleh pelanggan.

Bukan rasa bahkan kualiti termasuk barangan penjagaan diri selain mutu dan etika dalam perkhidmatan sepatutnya segera ditingkatkan. Perang pun sudah lebih tiga bulan.

Angkara boikot, restoran yang ada kaitan dengan Zionis kehilangan sebahagian pelanggan. Mereka terpaksa memendekkan masa operasi dan tidak lagi 24 jam. Jadi, kini giliran peniaga tempatan ‘beraksi’ 24 jam dan cipta lebih keuntungan pula.

Ada saja jenama tempatan terbaik misalnya Ramly, Susu Farm Fresh atau rangkaian kafe Naskeen Coffee milik anak muda tempatan dari Kelantan yang mampu menandingi jenama antarabangsa dan menjadi kegemaran pengguna.

Kita sudah menang perang di media sosial, seterusnya ekonomi pula. Cuma perlu lebih berusaha.

Penulis akan terus ‘memalu gendang’ sehingga kekejaman Israel dihentikan. Salam takziah juga buat 110 petugas media yang terkorban setakat 9 Januari 2024.

Jika mahu menang ‘perang’ walaupun tidak syahid seperti wartawan di Gaza, sekurang-kurangnya jangan kurangkan perhatian kita terhadap Palestin.

* Adila Sharinni Wahid adalah wartawan Sinar Harian Biro Kelantan