Inkues Baby Syifaa: 'Saya tak sebut perkataan bunuh' - Amidon

Gaithri bercakap sesuatu kepada ibu Baby Syifaa.
Gaithri bercakap sesuatu kepada ibu Baby Syifaa.
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Bukit Aman, Amidon Anan memberitahu Mahkamah Koroner di sini pada Khamis yang beliau sememangnya ada memberi pendapat dan nasihat berhubung kematian Baby Syifaa selepas didatangi empat individu termasuk ayah bayi berkenaan pada Julai 2022.

Bagaimanapun beliau tidak ada memberikan pendapat yang mangsa kemungkinan mati disebabkan dibunuh.

Ini kerana katanya, dalam perjumpaan yang berlangsung kira-kira setengah jam hingga 45 minit tersebut, beliau hanya diberitahu kes berkaitan penderaan.

"Yang saya difahamkan mereka datang jumpa saya untuk minta nasihat apa nak buat dalam kes penderaan. Itu saja.

"Saya juga tak pernah dirujuk apa-apa dokumen berkaitan mangsa. Jadi atas dasar pengalaman saya dan fakta diadukan, saya arahkan mereka buat laporan polis secepat mungkin," katanya dalam prosiding yang berlangsung secara sidang video di hadapan Koroner Datin Surita Budin.

Beliau juga memberitahu pihak yang berjumpa dengannya itu juga tidak ada menggunakan perkataan pembunuhan berhubung kematian Baby Syifaa.

Peguam keluarga Baby Syifaa, Gaithri Thomas pula mempersoalkan kesudian Amidon untuk menerima kehadiran kumpulan tersebut yang datang tanpa membawa sebarang dokumen berkaitan kes.

"Bila orang datang rumah, tanya pendapat takkan saya nak halau mereka. Mereka nak tanya pendapat, jadi saya bagi.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak berat kepada mana-mana pihak. Tapi disebabkan tiada dokumen dan lain-lain bahan, saya cuma nasihat mereka buat laporan polis secepat mungkin," katanya.

Pengikut inkues Baby Syifaa yang hadir di Mahkamah Koroner Seremban.
Pengikut inkues Baby Syifaa yang hadir di Mahkamah Koroner Seremban.

Amidon juga mengesahkan yang beliau sememangnya mempunyai pengetahuan khusus dalam bidang forensik dan patalogi berdasarkan pengalamannya sepanjang bertugas.

Bagaimanapun beliau mengakui bukanlah seorang yang mempunyai kepakaran untuk memberi pandangan berhubung forensik patalogi.

Sebelum itu Gaithri terpaksa beberapa kali bertanya soalan sama kepada Amidon berikutan bekas CSI itu yang tidak faham dan jelas mengenainya.

Ini kerana Amidon menjelaskan yang memorinya sedikit terjejas selepas diserang Covid-19 buat kali keempat.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Januari ini untuk prosiding seterusnya dengan memanggil seorang saksi awam.

Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!