Bekas setpol Mat Sabu bebas tuduhan rasuah RM6.35 juta

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas lima pertuduhan menerima dan meminta suapan berjumlah RM6.35 juta.

Peguam, Haijan Omar mewakili tertuduh, Mohd Azhar Che Mat Dali, 53, mengesahkan perkara itu dengan menyatakan anak guam atas tuduhan rasuah.

“Saya hanya boleh sahkan mahkamah buat keputusan lepas dan bebas itu," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Azhar didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin sebagai upah membantu syarikat itu untuk dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan Kementerian Pertahanan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru pada 22 Julai 2019.

Bagi empat lagi pertuduhan, bekas Setiausaha Politik Mat Sabu itu didakwa menerima suapan RM1.35 juta daripada Elias Jemadi melalui Pengarah Syarikat Ikaira Resources, Zainudin Abdul Majid dan Pengarah Syarikat Aqsa Solutions Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajuddin bagi tujuan sama.

Kesalahan dikatakan dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, antaranya di parkir kediaman rasmi Menteri Pertahanan antara September 2019 dan Februari 2020.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Di Mahkamah Shah Alam, Selangor, tertuduh menghadapi dua tuduhan menerima suapan RM130,000 daripada Elias Jemadi dan Zainudin bagi tujuan berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan Kota Damansara, Petaling Jaya pada 2019.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Artikel berkaitan: Bekas setpol Mat Sabu didakwa rasuah RM 6.35 juta