Lambakan peniaga asing jejaskan rakyat

Warga asing ini juga bebas menjalankan perniagaan sehingga ada yang sudah 'besar kepala'
Warga asing ini juga bebas menjalankan perniagaan sehingga ada yang sudah 'besar kepala'
A
A
A

KERA di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Itu perumpamaan sesuai digunakan bagi menggambarkan situasi di Malaysia ketika ini apabila rakyat tempatan terpaksa berhadapan dengan persaingan dari segi peluang pekerjaan dan ekonomi apabila warga asing mula memonopoli bidang perniagaan di negara ini.

Malah warga asing ini juga bebas menjalankan perniagaan sehingga ada yang sudah 'besar kepala' apabila tergamak memberi amaran kepada rakyat tempatan supaya tidak berniaga di kawasan jajahan mereka.

Perkara ini dikongsikan oleh seorang lelaki menerusi hantaran di aplikasi X yang mendedahkan bahawa dia pernah ditegur oleh peniaga warga asing yang ingin menghalau peniaga-peniaga baharu yang mahu berniaga di kawasan sekitar Taman Tasik Titiwangsa.

Bukan itu sahaja tindakan berniaga secara berleluasa di kawasan tersebut juga menyebabkan ruangan parkir disediakan terhadap pengunjung menjadi terhad.

Sikap tidak bertanggungjawab itu sudah tentu menyusahkan orang ramai kerana terpaksa meletakkan kenderaan di tempat yang jauh semata-mata untuk beriadah di tasik berkenaan.

Penulis sebelum ini ada berkunjung ke Bukit Bintang namun alangkah sedihnya apabila melihat keadaan di kawasan itu dipenuhi dengan peniaga warga asing yang menjual makanan dari negara luar seperti kebab, kunafa, kentang goreng dan sebagainya.

Malah tiada langsung makanan tempatan yang dijual di sepanjang laluan pejalan kaki tersebut kerana ia dimonopoli oleh warga asing sehingga menimbulkan persoalan sudah hilangkah identiti Malaysia di negara ini?

Tatkala negara jiran seperti Thailand dan Indonesia bergiat aktif mempromosikan makanan warisan mereka hingga dikenali serata dunia namun sebaliknya berlaku di negara ini apabila makanan luar seperti diagungkan malah turut dijadikan kawasan tumpuan pelancongan.

Artikel Berkaitan:

Warga asing pula diberi ruang dan peluang untuk menguasai perniagaan makanan dalam negara secara berleluasa sehingga identiti Malaysia sudah hilang.

Peniaga tempatan juga terpaksa bersaing dengan lambakan peniaga warga asing sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Jika perkara ini tidak ditangani dengan segera maka tidak hairanlah pada 10 atau 20 tahun akan datang industri perniagaan makanan di ibu kota dikuasai dan dijajah oleh warga asing.

Berdasarkan undang-undang, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini tidak dibenarkan mengeluarkan atau membenarkan pemilikan lesen serta permit berniaga kepada warga asing.

Justeru, perkara yang menyebabkan ada warga asing yang menjalankan perniagaan apabila mereka menggunakan lesen warga tempatan selain melakukan perniagaan secara haram iaitu berniaga tanpa lesen.

Ini berpunca daripada tindakan sesetengah warga tempatan yang menyewakan lesen perniagaan mereka kepada golongan tersebut.

Baru-baru ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan akan membatalkan lesen pemilik yang menyewakan premis perniagaan kepada warga asing.

Menterinya, Nga Kor Ming menyatakan KPKT menerusi PBT menegaskan agensi itu tidak pernah sesekali mengeluarkan sebarang lesen kepada warga asing untuk membuka premis perniagaan di negara ini.

Justeru, tindakan tegas perlu dikenakan kepada warga tempatan yang menyewakan premis kepada warga asing ini.

PBT juga sewajarnya sentiasa turun padang untuk melakukan pemantauan terhadap aktiviti perniagaan melibatkan warga asing.

Seperti mana PBT sentiasa turun padang dengan mengenakan kompaun pada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkaitan parkir begitu juga hal sama berkaitan perniagaan yang dikendalikan secara haram oleh warga asing terbabit.

Tindakan itu perlu dijalankan secara lebih kerap menerusi operasi penguatkuasaan terutama di kawasan yang menjadi tumpuan dan lambakan gerai warga asing sehingga menjejaskan peniaga tempatan.

Sebagai rakyat, kita juga boleh bertindak sebagai 'mata-mata' dengan melaporkan segera kepada pihak berkuasa berhubung perniagaan tanpa lesen yang diuruskan warga asing.

Menerusi hantaran video dan gambar di media sosial sehingga ia menjadi tular juga dapat menarik perhatian kerajaan dan pihak berkuasa lain menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

Tambahan pula, rakyat juga boleh memboikot mana-mana perniagaan mencurigakan yang dikendalikan warga asing secara haram.

Dengan cara itu menunjukkan bahawa rakyat di negara ini tidak menyokong sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang ditetapkan.

Hal ini bagi memastikan tidak ada lagi periuk nasi peniaga tempatan terjejas akibat lambakan gerai dan kedai makan yang diuruskan warga asin

*Nurfardlina Izzati Moktar ialah wartawan Sinar Harian Biro Terengganu