Tidak salah jamu makan, beri duit kepada jemaah solat di masjid

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohamad Shukri
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mohamad Shukri
A
A
A

KOTA BHARU - Jamuan percuma dan memberi wang untuk menarik jemaah ke masjid bukan satu kesalahan, sebaliknya menjadi satu cara berdakwah.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, dakwah boleh dilakukan melalui dua cara iaitu melalui lidah dan amalan atau bil hal.

Menurut beliau, setiap program yang dianjurkan oleh pihak pengurusan masjid sebenarnya sudah ada perbincangan dan mendapat pandangan ulama.

"Masyarakat juga tidak boleh cepat menghukum kerana kita perlu kepada penyatuan. Jangan juga cepat melatah dan mengkritik untuk menjatuhkan sesama Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komen dan pendapat bahawa memberi makan oleh masjid membawa kepada punca tidak ikhlas untuk datang dan beribadat.

Jelas beliau lagi, tarikan untuk beribadat boleh dilakukan secara fizikal atau rohani.

Tambahnya, penyediaan makanan di masjid dilakukan secara turun temurun terutama sepanjang Ramadan malah orang ramai juga boleh menikmati hidangan ketika majlis tahlil.

"Kenapa kini perlu dibangkitkan soal penyediaan makanan dan mereka yang datang dikatakan tidak ikhlas kerana hanya mahu makan percuma?" katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Shukri memberitahu, inisiatif pihak masjid menyediakan pelbagai kemudahan untuk jemaah termasuk kawasan permainan kanak-kanak membolehkan ibu bapa solat tanpa memikirkan tempat untuk meletakkan anak-anak mereka.

"Tiada halangan untuk pihak masjid menyediakan sebarang tarikan kepada masyarakat kerana niat mereka akan dinilai oleh ALLAH SWT.

"Pihak masjid juga perlu berusaha mencari faktor penarik supaya orang ramai solat di masjid termasuk mengupah penceramah terkenal," katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan masjid menggunakan wang yang disumbangkan oleh orang ramai untuk mengimarahkan masjid dan ia merupakan cara terbaik memajukan rumah ALLAH SWT.

Beliau turut memberi contoh, pembinaan tempat menunggu bas daripada wang yang didermakan kepada masjid dibolehkan kerana ia merupakan dakwah bil hal.