Lepas itik ke bendang galak pengeluaran telur

Itik-itik yang dilepaskan di kawasan sawah padi di Kajang Sebidang di Tumpat mendapat makanan semula jadi yang lebih bernutrisi. Gambar Kecil: MAT ZAKI
Itik-itik yang dilepaskan di kawasan sawah padi di Kajang Sebidang di Tumpat mendapat makanan semula jadi yang lebih bernutrisi. Gambar Kecil: MAT ZAKI
A
A
A

TUMPAT - Musim selepas menuai padi di Kampung Kajang Sebidang di sini, memberi rezeki berganda kepada seorang penternak itik apabila ternakannya yang dilepaskan di kawasan bendang menghasilkan lebih banyak telur sejak Oktober lalu.

Mat Zaki Dollah, 49, berkata, sejumlah 1,800 itik tersebut menghasilkan kira-kira 800 telur setiap hari berbanding 600 telur jika dikurung di dalam kandang melalui pemakanan dedak.

Menurutnya, itik-itik yang dilepas bebas itu mendapat makanan semula jadi dan lebih bernutrisi daripada pokok-pokok padi selepas dituai selain memakan siput gondang yang juga haiwan perosak tanaman.

“Itik-itik ini lebih aktif berenang di kawasan air di bendang apabila dilepaskan ke kawasan sawah padi seluas lebih 20 hektar.

“Itik-itik betina akan kerap bertelur di atas batas-batas pada dan saya perlu bekerja lebih untuk mengutip ratusan telur pada setiap pagi serta petang bagi mengelak dimakan ular atau biawak,” katanya ketika ditemui di Kampung Kajang Sebidang dekat sini pada Ahad.

Mat Zaki terpaksa meluangkan lebih masa untuk mengutip telur itik di atas batas padi.
Mat Zaki terpaksa meluangkan lebih masa untuk mengutip telur itik di atas batas padi.

Mat Zaki yang sudah 14 tahun berkecimpung dalam bidang ternakan itu memberitahu, itik-itik tersebut dilepaskan ke bendang dalam tempoh Oktober sehingga Januari pada setiap tahun sebelum kerja-kerja menabur benih dilakukan untuk tanaman padi seterusnya.

Katanya, itik-itiknya akan dikurung semula di dalam kandang apabila kerja-kerja menabur benih padi bermula.

Artikel Berkaitan:

“Sebahagian tanah padi ini milik saya sendiri dan sebahagian lagi milik penduduk setempat yang membenarkan itik-itik dilepaskan ke tanah sawah mereka kerana najis itik membantu menjadi baja sekali gus menyuburkan tanah.

“Saya mendapat lebih pulangan apabila banyak telur dihasilkan dan telurnya juga lebih berkualiti, selain menjimatkan kos dedak RM400 setiap hari berbanding jika dipelihara di dalam kandang,” ujarnya.

Itik yang dilepaskan di bendang menghasilkan lebih banyak telur berbanding biasa.
Itik yang dilepaskan di bendang menghasilkan lebih banyak telur berbanding biasa.

Tambah Mat Zaki, itik aktif menghasilkan telur pada waktu dinihari atau sebelum fajar antara jam 3 hingga 5 pagi semasa usia mencecah enam bulan sehingga setahun.

“Seekor itik dapat menghasilkan sebiji telur setiap hari dan kira-kira 300 telur dalam setahun.

“Saya menjual telur-telur ini kepada peraih di Tumpat untuk dibuat telur masin atau dijual secara mentah,” katanya.