Lebih 200 pesawah rugi padi rosak dipukul ribut

Mansuri menunjukkan padi yang sepatutnya dituai dalam minggu ini musnah susulan kejadian ribut baru-baru ini ketika tinjauan di Kampung Sawah Sempadan. - Foto Bernama
Mansuri menunjukkan padi yang sepatutnya dituai dalam minggu ini musnah susulan kejadian ribut baru-baru ini ketika tinjauan di Kampung Sawah Sempadan. - Foto Bernama
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang pesawah di Sawah Sempadan di sini berputih mata selepas petak sawah berkeluasan 1.2 hektar miliknya musnah akibat ribut baru-baru ini.

"Saya sepatutnya telah menuai padi tiga hari lepas, tapi disebabkan hujan, padi basah jadi saya tangguh, tidak sangkalah akan jadi begini (padi musnah)," kata Mansuri Dugan, 61 yang tidak sempat menuai padi yang telah masak itu.

Mansuri antara lebih 200 pesawah di Sawah Sempadan di sini yang terkesan akibat ribut dan hujan lebat yang berlaku pada Isnin lepas.

Pesawah berpengalaman lebih 20 tahun itu berkata, bencana yang berlaku selepas azan isyak itu bukan yang pertama tetapi telah beberapa kali terjadi di kawasan berkenaan.

"Sebelum ini saya tidak terkesan sangat, kali ini betul-betul terkesan dan musim ini mungkin saya paling teruk, boleh dikatakan musnah sepenuhnya (sawah padi). Beberapa tapak lain turut terkesan tetapi hanya 20 hingga 30 peratus sahaja.

"Kebiasaannya untuk setiap petak sawah saya boleh dapat tujuh atau lapan tan hasil (padi), selepas berlaku begini untuk dapatkan dua tan pun belum tentu.

"Tanah ini sudah basah di sebelah bawah dan jika diambil guna mesin memang tidak boleh," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Seorang lagi pesawah, Kamim Basiron, 60, menyifatkan musim menuai kali ini bukan rezekinya dan pasrah dengan apa yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri tidak menyangka jadi begini, lebih separuh musnah, mungkin hanya empat hingga lima tan sahaja yang boleh diselamatkan. Penantian yang tidak berbaloi (menunggu padi masak).

"Saya menanam padi di tanah sendiri, kasihan mereka yang menyewa tanah orang. Hasil tidak ada namun sewa tetap perlu dibayar," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, pihaknya menyarankan kepada kerajaan agar mewujudkan tabung khas bencana untuk pesawah agar golongan tersebut tidak terbeban dengan ujian mendatang dan merasa terpinggir.

"Kita tidak mahu pendapatan petani cukup habis musim hanya balik modal atau rugi. Bagi mencapai sedikit untung, sekurang-kurangnya mereka perlu capai enam tan (hasil padi), kalau tidak dapat memang tidak balik modal.

"Kadangkala ada pesawah hanya dapat satu tan sahaja hasil tuaian selain terpaksa menampung kos bahan seperti benih, baja dan racun. Belum lagi potongan hasil padi yang misteri (oleh kilang-kilang pemprosesan padi) antara 18 hingga 30 peratus," katanya. - Bernama