Ibu baru bersalin redah jalan runtuh bawa bayi ke klinik

Keadaan jalan di Kampung Lata Janggut Seberang yang runtuh sekali gus menyukarkan penduduk untuk keluar masuk.
Keadaan jalan di Kampung Lata Janggut Seberang yang runtuh sekali gus menyukarkan penduduk untuk keluar masuk.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang ibu muda di Kampung Lata Janggut Seberang, Jeli berkongsi pengalaman membawa bayinya berusia tiga hari ke Hospital Tanah Merah selepas berlaku runtuhan jalan pada 30 Disember tahun lalu.

Ketika itu, Nur Shima Natasha Mohamad Yusof Mohamad Yisoff, 20, terpaksa membawa bayi sulungnya, Nur Shakeerah Khaileena untuk mendapatkan rawatan kerana demam kuning.

Lebih menyukarkan apabila suaminya tiada bersama kerana terkepung banjir di Kampung Serongga, Pasir Mas selepas pulang membantu keluarga yang berdepan bencana itu.

"Saya bersalin pada 26 Disember di Hospital Tanah Merah dan dibenarkan pulang sehari selepas itu.

"Bagaimanapun, bayi saya dinasihatkan dirawat kerana ada masalah kesihatan dan kami perlu keluar tetapi tiada jalan lain yang boleh dilalui," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Nur Shima yang tinggal bersama ibu bapanya bersyukur kerana penduduk kampung turut membantu menghantarnya dengan menaiki kereta ke jalan yang runtuh sebelum dia dan bayi diangkut oleh polis dan anggota Angkatan Pertahanan Awam.

Menurut Nur Shima Natasha, pasukan keselamatan tiba di kawasan jalan runtuh itu pada awal pagi untuk membawanya bersama bayi ke hospital.

Sebelum ini media melaporkan, kejadian jalan runtuh sepanjang 20 meter (m) di Kampung Seberang Janggut di sini pada 29 Disember menyebabkan lebih 200 penduduk terputus hubungan.

Artikel Berkaitan:

Kejadian jam 9 pagi itu dikatakan akibat hujan lebat dan air pasang besar dari Sungai Rual berhampiran lokasi berkenaan.

Suri rumah itu juga tidak menyangka terpaksa menempuh pengalaman mencemaskan itu walaupun sudah selamat berada di rumah.

"Alhamdulillah, semua petugas mengambil berat termasuk jururawat yang menjaga kami sepanjang menempuh kawasan runtuh itu," katanya.

Selepas itu, Nur Shima Natasha memberitahu, dia dan suami, Mohamad Khairul Mohamed, 21, mengambil keputusan berpantang di rumah ibu saudaranya, Zaiton Zakaria, 54, di Kampung Lata Janggut demi kesihatan bayinya itu.

"Hari ini (Sabtu) genap 19 hari saya berpantang selepas melahirkan anak sulung dan semuanya dalam keadaan baik," katanya lagi.

Jelasnya lagi, penduduk kampung juga gembira kerana Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera untuk membaiki jalan berkenaan.