Selangor lebih awal kenakan caj tambang bas kepada warga asing

Warga asing guna bas Smart Selangor dikenakan caj 90 sen sejak 2021. Gambar kecil: Sze Han
Warga asing guna bas Smart Selangor dikenakan caj 90 sen sejak 2021. Gambar kecil: Sze Han
A
A
A

SUBANG JAYA - Selangor telah mengenakan caj tambang bas Smart Selangor kepada warga asing sejak 2021.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, ia disusuli Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menggunakan kaedah sama terhadap perkhidmatan bas GoKL bermula awal tahun ini.

Menurutnya, polisi diperkenal bertujuan memberikan keutamaan kepada warga tempatan menggunakan perkhidmatan bas percuma itu.

"Ini bukan diskriminasi terhadap warga asing sebaliknya kerajaan negeri berpandangan perkhidmatan ini mahu diberikan keutamaan kepada warga tempatan.

"Sementara warga asing pula boleh menggunakan kemudahan sama dengan caj minimum 90 sen sahaja," katanya selepas merasmikan Program Penanaman Pokok: Pledge an Plant A Tree (PAPAT) di Bukit Kinrara, Puchong pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan langkah dilakukan DBKL mengenakan caj RM1 kepada warga asing yang menggunakan bas GoKL.

Sze Han menambah, langkah diambil kerajaan negeri itu telah dijelaskan sebelum ini namun masih ada pihak tertentu yang kurang berpuas hati dengan polisi tersebut.

Sze Han (kanan) ditemui pada Program Penanaman Pokok: Pledge an Plant A Tree di Bukit Kinrara, pada Sabtu.
Sze Han (kanan) ditemui pada Program Penanaman Pokok: Pledge an Plant A Tree di Bukit Kinrara, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor telah diarah menjalankan kajian dalaman laluan bas Smart Selangor sedia ada di kawasan masing-masing bagi mengoptimumkan setiap ringgit yang dibelanjakan untuk kemudahan berkenaan.

"Ini kerana ketika ini kita mahu menawarkan satu lagi perkhidmatan iaitu Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT).

"Kita akan buat perbandingan adakah laluan tersebut lebih sesuai menggunakan perkhidmatan bas sedia ada atau BRT," katanya.

Ujar beliau, kemudahan DRT itu kini telah disediakan di beberapa kawasan seperti Puchong, Hulu Kelang, Subang dan Bandar Utama serta akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Shah Alam tidak lama lagi.

"Saya terima banyak permintaan khususnya daripada wakil rakyat yang mahu kemudahan itu diperluas ke kawasan mereka dan perkara itu akan dipertimbangkan cuma kajian mungkin mengambil sedikit masa kerana projek baharu dilancarkan tahun lepas.

"Untuk di Shah Alam, UiTM antara lokasi utama bakal disediakan kemudahan BRT kerana kawasan kampus luas dan jumlah mahasiswa pun ramai. Sudah tentu mereka memerlukan kemudahan tersebut," tambah beliau.