Kejadian tangan lelaki dibaham harimau bukan di Bahau - Polis

Tangkap layar video berkenaan mengenai lelaki dibaham harimau.
Tangkap layar video berkenaan mengenai lelaki dibaham harimau.
A
A
A

JEMPOL - Video yang memaparkan seorang lelaki putus tangan kanan dibaham harimau yang tular di media sosial bukan kejadian berlaku di Bahau seperti didakwa.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden, Hoo Chang Hook berkata, tiada laporan kejadian seperti itu diterima pihaknya termasuklah aktiviti jenayah sehingga menyebabkan putus tangan setakat ini.

"Video lelaki putus tangan itu dipercayai berlaku di Indonesia akibat dibaham buaya dan bukan dibaham harimau, kononnya kejadian berlaku di belakang Balai Polis Bahau.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi apa-apa berita yang tidak dapat dipastikan kesahihan sehingga boleh menimbulkan kegusaran ramai," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada Jumaat tular di media sosial apabila satu video dan mesej suara mengenai seorang lelaki putus tangan apabila dibaham harimau dengan kejadian didakwa berlaku di belakang Balai Polis Bahau.

Terdapat tiga mesej suara tular mengenai insiden tersebut antaranya meminta penduduk sekitar daerah ini dan Kuala Pilah supaya berhati-hati selain dakwaan perkongsian 'kronologi' kejadian lelaki dibaham harimau.

"...Belakang kedai ada satu bukit, ini orang Indonesia kerja, saya ingat bukan satu orang lebih kurang tiga empat orang kerja nampak harimau keluar gigit dia tau, makan satu tangan.

" Nasib baik oh, kalau dia kerja satu orang mesti mati," jelas mesej suara tersebut.

Artikel Berkaitan: