Sejauh mana kebenaran Man On The Run?

Dokumentari Man On The Run yang disiarkan di Netflix sejak 5 Januari lalu.
Dokumentari Man On The Run yang disiarkan di Netflix sejak 5 Januari lalu.
A
A
A

TAYANGAN dokumentari bertajuk Man On The Run yang berdurasi satu jam 38 minit dalam perkhidmatan aplikasi penstriman, Netflix boleh menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini kerana, tayangan tersebut menggambarkan seolah-olah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sememangnya bersalah sedangkan mahkamah masih tidak memutuskan sebarang keputusan.

Man on the Run ialah dokumentari yang diarah, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim, berkisar mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia turut memaparkan temu bual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Pada 8 Januari lalu, filem dokumentari itu mencuri tumpuan ramai apabila pasukan pembelaan dalam prosiding kes 1MDB membabitkan Najib menimbulkan isu filem tersebut.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib berkata, dakwaan yang dipaparkan itu belum dan tidak pernah dibuktikan dalam dokumen atau saksi yang dikemukakan dalam mana-mana perbicaraan.

Kenyataan yang dikeluarkan di luar mahkamah berkenaan juga dikhuatiri akan menjejaskan hak pemimpin UMNO itu untuk mendapatkan satu perbicaraan yang saksama berikutan prosiding masih berlangsung atau belum diketahui keputusan.

Persoalannya, sejauh mana kebenaran yang ditayangkan dalam dokumentari tersebut dapat dibuktikan secara sahih?

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, setiap individu dalam negara ini perlu menghormati prinsip iaitu seseorang tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan oleh pihak mahkamah pada akhir proses perbicaraan.

Prinsip itu dilihat penting untuk melindungi diri pihak yang dituduh daripada dipandang serong oleh masyarakat sehingga boleh menjejaskan kehidupan diri tertuduh dan keluarganya.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melemparkan persepsi buruk selain membiarkan mahkamah serta pihak yang terlibat di dalam sesebuah kes untuk berbicara dengan aman serta lancar tanpa sebarang gangguan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!