Tayangan animasi 4D menerusi space dome

Space dome secara 360 darjah akan memberikan pengalaman secara nyata buat pengunjung karnival.
Space dome secara 360 darjah akan memberikan pengalaman secara nyata buat pengunjung karnival.
A
A
A

SHAH ALAM - Bakal membawa space dome atau kubah berbentuk iglu selain turut menayangkan animasi secara 4 dimensi (4D) di dalamnya adalah antara tarikan menarik yang ditawarkan oleh My Mobile Planetarium sepanjang tiga hari berlangsungnya Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

Lebih menarik lagi, animasi tersebut akan dipancarkan dalam space dome secara 360 darjah yang akan memberikan pengalaman secara nyata buat semua pengunjung karnival berkenaan.

Pengarah Urusan, Intelligent Education Sdn Bhd (My Mobile Planetarium), Nik Nahitun Nisha berkata, buat pertama kalinya space dome dibuka secara percuma dan ini adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan terutama kepada pelajar sekolah untuk lebih mendalami ilmu sains dan aeroangkasa.

“Video yang akan ditayangkan adalah mengikut kesesuaian penonton dan berbeza mengikut tahap antara sekolah rendah dan menengah.

“Namun yang menariknya adalah mereka yang menonton video animasi ini akan mendapat satu pengalaman baharu kerana tayangan yang dipancarkan secara 360 darjah menjadikan ia lebih nyata dan jelas,” ujarnya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurut Nik Nahitun Nisha, jika sebelum ini kemasukan ke space dome dikenakan bayaran sebanyak RM45 akan tetapi sempena karnival berkenaan semua pengunjung berpeluang untuk menikmatinya secara percuma.

Bahkan katanya, pihak My Mobile Planetarium juga ada menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada mereka yang berjaya menjawab kuiz pada akhir tayangan video.

“Tujuan dan maklumat kami adalah untuk memberi pendedahan kepada pengunjung terutama pelajar sekolah untuk belajar dunia sains dan aeroangkasa.

Artikel Berkaitan:

“Untuk itu, pada akhir tayangan video selama 30 minit ini akan diadakan kuiz dan mereka yang menjawabnya dengan betul akan membawa pulang hadiah menarik,” jelas beliau.

Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September ini bakal menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik kepada para pengunjung.

Bermula jam 9 pagi hingga 7 malam, ia terbuka kepada semua pengunjung secara percuma bagi merasai sendiri pengalaman pendidikan digital selaras dengan tema karnival iaitu Memacu Pendidikan Generasi Digital.

Selain itu, pelbagai pertandingan turut diadakan, antaranya adalah kawad kaki, tarian, bola keranjang, koir, dikir barat, Sinar Bestari Got Talent, E-Sukan, pidato, cerpen, crossword puzzle, bicara berirama, bercerita Sirah Nabi, robotik, penglipur lara, Kids Quran Hour, Doodle Something Nice, explorefun dan banyak lagi.