Sanusi dakwa tuduhan rasuah ke atas KFA 'luar biasa', bakal saman

Sanusi - Foto Bernama
Sanusi - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) akan menyaman pihak-pihak yang memberi gambaran seolah berlakunya rasuah dalam persatuan itu selain cubaan merosakkan reputasi Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta tiga individu lain.

Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, surat saman tersebut akan dihantar dalam masa terdekat kepada pihak berkenaan.

“Pihak yang cuba kaitkan dengan dakwaan rasuah RM6 juta akan berdepan tindakan undang-undang sesegera yang mungkin,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Jumaat.

Menteri Besar Kedah itu berkata, tuduhan tersebut sengaja ditularkan untuk meraih tujuan politik pihak tertentu untuk memburukkan KFA dan pemimpin kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Sanusi tampil mendedahkan beberapa dokumen berkaitan bagi memperjelaskan kebenaran.

Ia membabitkan dokumen penswastaan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), permohonan pinjaman RM5 juta, bayaran balik RM1.3 juta, permohonan projek pihak-pihak terbabit yang tidak diluluskan kerana tiada kelayakan serta dokumen penyata beraudit yang menunjukkan ketelusan pengurusan kewangan KFA.

“Saya tunjukkan dokumen-dokumen sokongan sebagai bukti kecuali surat tuntutan bayaran pinjaman RM1.3 juta yang kini berada dalam simpanan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bagi tujuan siasatan,” ujarnya.

Sanusi memaklumkan, pada tahun 2020, syarikat Tulangis Sdn Bhd diwakili Datuk Mohd Hazarul Ifdaz telah menyatakan minat untuk memiliki saham Darulaman Football Club Sdn Bhd (DAFC).

Artikel Berkaitan:

“Atas dasar keterbukaan, rundingan berhubung tawaran pemilikan saham itu berlangsung dan syarikat Tulangis bersetuju memberi pinjaman RM5 juta sebagai komitmen pembelian saham bernilai RM30 juta.

“Sebanyak RM5 juta didepositkan ke akaun KFA pada tahun tersebut (2020), namun rundingan seterusnya gagal mencapai kata sepakat setelah KFA mendapati syarikat tersebut bermasalah, menyebabkan proses rundingan dihentikan serta-merta,” jelasnya.

Menurutnya, syarikat itu kemudiannya menuntut pembayaran sebahagian pinjaman berjumlah RM 1.3 juta daripada pinjaman RM5 juta terbabit berdasarkan kemampuan kewangan semasa KFA.

“Dalam waktu sama, syarikat Berjaya Corporation Berhad mendakwa RM5 juta tersebut adalah wang mereka.

“Wang RM5 juta tersebut diberi oleh syarikat Berjaya Corporation Berhad kepada Tulangis bagi mendorong kelulusan mengadakan kerjasama untuk melaksana/menyambung konsesi rawatan bekalan air atas nama syarikat lain.

“Berjaya Corporation Berhad tidak pernah berurusan dengan KFA turut menuntut wang yang diberikan kepada Tulangis. Surat tuntutan tersebut diberi salinan kepada KFA,” ujarnya.

Sanusi tegaskan, tidak timbul sama sekali penyelewengan atau pecah amanah RM6 juta kerana jumlah pinjaman itu adalah RM5 juta.

“Pihak yang melakukan penipuan adalah Tulangis dan yang tertipu dengan janji-janji projek adalah Berjaya Corporation Berhad.

"Pihak yang menjanjikan projek kepada Berjaya Corporation Berhad adalah Tulangis, bukannya KFA.

“Syarikat Tulangis juga berharap diberikan projek membangunkan litar lumba tetapi penilaian MBI (Menteri Besar Incorporated) selaku pemaju dan pemilik tanah menunjukkan syarikat itu tidak mempunyai keupayaan,” jelasnya.

Menurutnya, kedua-dua syarikat berkenaan tidak mendapat sebarang projek yang diharapkan walaupun telah memberi pinjaman kepada KFA.

“Memberi sebarang projek berkaitan kerajaan negeri kepada pemiutang atau penyumbang adalah di luar kemampuan, bukan bidang kuasa KFA.

“Tiada penyalahgunaan, songlap, penyelewengan untuk kepentingan peribadi mana- mana pihak dalam KFA melainkan sepenuhnya dibelanjakan untuk KFA.

“Dakwaan rasuah ini paling luar biasa di dunia, boleh dianggap luar tabii.

"Kes disiasat kerana tidak beri projek sedangkan kes rasuah biasanya disiasat melibatkan pemberian wang atau projek.

"Inilah plot yang saya maksudkan, iaitu mengada-adakan hal yang tidak ada,” jelasnya.

Pada Khamis, media melaporkan Sanusi selesai memberi keterangan selepas tiga jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan dakwaan rasuah RM6 juta membabitkan KFA.

Siasatan dijalankan selepas SPRM menerima laporan daripada kontraktor yang mendakwa dijanjikan projek di Kedah, sekiranya menyalurkan dana kepada persatuan bola sepak negeri, namun tidak memperolehnya selepas berbuat demikian.

Bagaimanapun, Sanusi sebelum ini mendakwa beliau menjadi sasaran pihak tertentu di sebalik plot dakwaan rasuah dalam KFA, selain mendakwa ada pihak lain yang sepatutnya dikenakan tindakan dan bukan empat individu ditahan SPRM.