'Saya sedia beri kerjasama '28 jam' sehari kepada SPRM' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperjelaskan kedudukan sebenar Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah.

Beliau berkata, tiada unsur penyelewengan dalam KFA kerana wang dimaksudkan itu merupakan wang yang sememangnya berada dalam akaun badan itu, bukannya akaun peribadi.

Menurutnya, jumlah yang diuar-uarkan juga tidak tepat, hanya RM5 juta dan bukannya RM6 juta seperti didakwa.

“Tak dimaklumkan apa-apa setakat ini (hadir beri keterangan kepada SPRM).

“Saya sedia beri kerjasama 28 jam sehari. Datanglah bila pun, nak tanya apa? Mai (datang) saya nak jawab,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah bersama Menteri Besar di Dataran Wisma Darul Aman, pada Isnin.

Sanusi mendakwa, pihak tertentu menjadikan dirinya sasaran, sementara empat individu yang didakwa berhubung kes berkenaan hanyalah aksesori.

“Kebenaran mereka dah jumpa, Sanusi tak ada kes apa-apa pun. Tapi mereka ada-adakan juga, salah satunya dengan pamerkan persepsi dan bina naratif bahawa di Kedah banyak rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Duit sumbangan itu ada dalam akaun KFA, tiba-tiba dituduh rasuah. Rasuah apa? Memang ada dalam tu dah, kalau masuk dalam poket mereka, bolehlah dituduh rasuah.

"Duit dalam akaun KFA tu tak pi mana pun, guna untuk bayar hutang. Tak betul naratif mereka tu,” jelasnya.

Beliau menegaskan, terpalit isu rasuah menjejaskan kewangan KFA yang sedang menanggung beban hutang, selain pasukan futsal, Piala Presiden dan Piala Belia.

"Pihak yang sudah setuju nak sumbang kepada KFA, bila mereka buat cerita macam ni, pihak tu jadi ‘seqot’, maksudnya tak mahu bagilah sebab konon berlaku penyelewengan dalam KFA. Sebenarnya tak berlaku pun,” ujarnya.

Pada Jumaat, SPRM menahan reman empat individu termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) KFA masing-masing berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji rawatan air di Kedah.