Isu rasuah KFA: Agensi awam jangan jadi 'barua' - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

PADANG TERAP - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan agensi penguatkuasaan agar tidak menjadi 'barua' (orang suruhan) kepada pihak yang memiliki kepentingan politik sehingga menzalimi orang yang tidak bersalah.

Beliau berkata, golongan berkenaan hanya menggunakan agensi awam untuk kepentingan peribadi dan memuaskan perasaan sendiri apabila ada yang tidak sealiran dengan mereka.

"Saya hendak pesan kepada agensi awam, jangan jadi 'barua' kepada puak-puak ini, barua ini bahasa Kedah panggil 'Pak Yed'.

"Pasal duit itu saya tidak tahu, itu depa yang kata. Saya cakap nak 'sapu' puak ini (agensi terlibat) pasal jadi barua orang, menzalimi orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra di sini pada Ahad.

Menurut Sanusi, beliau akan mendedahkan lebih banyak plot secara bersiri selepas ini sekiranya pihak yang berkepentingan mahu terus 'berperang' dengannya.

Sanusi (kanan) sedang melihat sudut pameran ketika Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra pada Ahad.
Sanusi (kanan) sedang melihat sudut pameran ketika Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap di Dewan Tunku Putra pada Ahad.

"Depa nak bagi Kedah ini nampak buruk dengan rasuah, saya tak sambung konsesi itu mana boleh kata rasuah, semua persatuan bola sepak ini adalah hasil sumbangan, derma, mana ada untuk keuntungan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sanusi juga mendakwa wang RM6 juta yang dikaitkan dengan isu rasuah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merupakan sumbangan oleh syarikat gergasi yang menjadi konsesi loji rawatan air di Kedah.

Beliau yang juga Presiden KFA berkata, syarikat itu memberi sumbangan dengan harapan konsesi mereka akan disambung.

"Plot itu saya tahu melibatkan syarikat besar lobi untuk dapat sambung konsesi rawatan air jadi sumbang di situ nak suruh kita sambung dia.

"Saya kata konsesi ini kita tak sambung, kita nak buat sendiri sumbanglah RM80 bilion pun tak sambung, lepas itu dia minta balik duit itu," katanya membongkar plot sebenar yang berlaku dalam pelbagai isu termasuk penahanan reman Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA membabitkan rasuah terbabit.

Tambah Sanusi, beliau tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan terhadap empat individu berkenaan yang disifatkannya sebagai menzalimi orang miskin.

"Depa (mereka empat orang) itu susah, semua saya kenal, CEO itu saya suruh kerja di situ, gaji RM5,000 sahaja tetapi hutang KFA ketika itu adalah RM26 juta, semua KFA hutang, gaji pemain tidak bayar, gaji semasa pemain masa itu KFA masih pegang bil hutang RM26 juta, pembiayaan semasa tidak ada duit,

"Saya kenal depa secara peribadi, tayar kereta pun tak boleh tukar, anak sekolah pun baju sekolah saya bagi, kalau hampa buat orang kaya lantaklah, cari dosa dengan orang miskin, langkah mayat aku dulu," katanya sebak.

Pada Jumaat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk CEO KFA yang mana masing-masing berusia antara 40 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!