Rugi RM36,800 terjerat iklan pinjaman wang tidak wujud

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang wanita mengalami kerugian RM36,800 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pinjaman wang melalui laman sesawang.

Mangsa berusia 27 tahun mengesyaki dirinya ditipu selepas membuat 19 transaksi pembayaran, namun wang yang mahu dipinjam masih tidak diterima.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa sebelum itu tertarik dengan iklan pinjaman wang selepas melayari sebuah laman sesawang pada 25 November lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian mendaftarkan maklumat peribadinya untuk proses pinjaman tersebut sebelum menerima pesanan daripada seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai ejen sebuah syarikat pinjaman wang.

"Lelaki tersebut memaklumkan dia sudah menerima permohonan pinjaman tersebut sebelum meminta mangsa membuat beberapa bayaran ke akaun bank yang diberikan bagi tujuan proses kelulusan.

"Jumlah keseluruhan transaksi ialah RM36,800," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan lain dengan pelbagai alasan dan sedar bahawa dia sudah ditipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan pinjaman mudah melalui laman sosial sebaliknya terus berurusan dengan syarikat pinjaman berlesen atau institusi bank yang lebih terjamin.

"Ia bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa sindiket penipuan yang menggunakan iklan pinjaman tidak wujud sebagai modus operandi untuk menjerat mangsa," katanya.