X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang jangka pelancong meningkat

Usaha bersepadu akan dilaksanakan untuk menjayakan Experience Penang 2020 bertemakan 'Kepelbagaian Asia', terutama dengan menampilkan kemesraan penduduk Pulau Pinang dan alam semula jadi yang indah. - Foto fail Bernama
A
A

GEORGETOWN - Jumlah pelancong China ke Pulau Pinang dijangka meningkat tahun ini selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dan Experience Penang 2020.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sejak beberapa tahun lepas jumlah pelancong China ke Malaysia adalah kira-kira tiga juta orang setahun tetapi tidak mendedahkan angka untuk Pulau Pinang.

"Saya percaya dengan promosi besar-besaran pada tahun ini untuk meningkatkan pelancongan, angka ini dan terutamanya jumlah pelancong China ke Pulau Pinang akan terus meningkat, sekali gus perkukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan China," katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baru yang dianjurkan Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Lu Shiwei, di sini malam tadi.

Kon Yeow berkata, Pulau Pinang dan China berkongsi sejarah mendalam yang mendorong kedua-dua pihak mengekalkan hubungan yang kukuh dan akrab.

"Hubungan erat antara kerajaan Pulau Pinang dan China telah membawa kepada pembukaan laluan penerbangan terus yang kini termasuk penerbangan terus ke Guangzhou, Kunming dan Changsha-Quanzhou - Pulau Pinang. Laluan penerbangan terus terbaru adalah ke Shenzhen," katanya.

Beliau berkata, usaha bersepadu akan dilaksanakan untuk menjayakan Experience Penang 2020 bertemakan 'Kepelbagaian Asia', terutama dengan menampilkan kemesraan penduduk Pulau Pinang dan alam semula jadi yang indah.

"Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah merumuskan pelan tindakan untuk pembangunan dan hala tuju industri pelancongan bagi 10 tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Lu menyambut baik pengumuman baru-baru ini oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pelancong China akan menikmati 15 hari perjalanan bebas visa ke Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelancong China, India dikecuali visa mulai 1 Januari

Beliau berkata, langkah itu akan meningkatkan lagi kerjasama dua hala dan jumlah ketibaan pelancong China di negara ini.

"Saya percaya di bawah kepimpinan strategik, pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai sektor antara China dan Malaysia akan menjadi lebih kukuh dan lebih baik tahun depan," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus