Wanita, rakan dipenjara 35 tahun bunuh bayi lelaki

Dua rakan wanita dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah kerana membunuh bayi lelaki berusia 23 bulan, di sebuah rumah, pada 2019. Gambar hiasan
Dua rakan wanita dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah kerana membunuh bayi lelaki berusia 23 bulan, di sebuah rumah, pada 2019. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua rakan wanita dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah kerana membunuh bayi lelaki berusia 23 bulan, di sebuah rumah, pada 2019.

Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhi ibu bayi itu, Nor Aisyah Mohd Yunus, 40, dan rakan serumahnya, Noor Aisyah Ibrahim, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan setiap tertuduh yang juga penjawat awam, dipenjara 35 tahun dari tarikh tangkap pada 4 November 2019.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, setelah mahkamah meneliti keterangan kesemua saksi, mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh gagal memberikan penjelasan mengenai kecederaan yang dihadapi kanak-kanak malang itu.

“Sedangkan dua tertuduh itu sendiri mengakui mangsa berada dalam rumah berkenaan semasa kejadian,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Nor Aisyah dan Noor Aisyah didakwa bersama-sama membunuh mangsa di sebuah rumah di Jalan P5A/5 Fasa 5R4, Presint 5, Putrajaya, antara pertengahan September sehingga 4 November 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim, Mohd Isa Mohamed, Goh Ai Rene dan Noor Dayana Mohamad manakala peguam, Najib Zakaria dan peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Seramai 19 saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan termasuk dua tertuduh ini dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada November 2021.