Padah isi minyak diesel terlalu lama

17 tong jerry can ditemui pada bahagian belakang pacuan empat roda. Foto Ihsan KPDN
17 tong jerry can ditemui pada bahagian belakang pacuan empat roda. Foto Ihsan KPDN
A
A
A

TEMERLOH - Tindakan sebuah kenderaan pacuan empat roda mengisi minyak kira-kira 15 minit di sebuah stesen di Bandar Pusat Jengka pada Khamis membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya memberitahu, ia hasil operasi rutin harian Ops Tiris yang dijalankan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Temerloh.

Menurutnya, anggota terbabit telah terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang membuat pengisian minyak diesel dalam tempoh yang lama.

Pacuan empat roda ini turut disita. Foto Ihsan KPDN
Pacuan empat roda ini turut disita. Foto Ihsan KPDN

"Setelah dihampiri anggota penguat kuasa mendapati 17 tong jerry can yang memuatkan kira-kira 350 liter minyak diesel di bahagian belakang kenderaan tersebut.

"Hasil semakan mendapati individu yang ditahan tersebut tidak memiliki sebarang surat kebenaran untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak diesel daripada Pengawal Bekalan Malaysia," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, minyak diesel, kenderaan serta dokumen yang terlibat di tempat kejadian telah disita dan nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM50,754.

"Seorang lelaki warga tempatan berumur 46 tahun juga telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memberitahu, KPDN Temerloh memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melanggar peruntukan undang-undang dan sekiranya mana-mana individu atau peniaga melakukan kesalahan tersebut.

Ujarnya, mereka yang terlibat bakal berdepan dengan tindakan dan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi syarikat pula denda sehingga RM2 juta di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.