Dua maut kereta bertembung pacuan empat roda

Keadaan kereta yang remuk selepas bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Bypass Taman Padi View, Penampang.
Keadaan kereta yang remuk selepas bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Bypass Taman Padi View, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Lelaki warga emas antara dua mangsa maut selepas kenderaan yang dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Bypass Taman Padi View di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, pemandu Proton Saga dikenali sebagai Peter John Lo@James Lo, 69, dan seorang lagi penumpang wanita yang belum diketahui identitinya disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Balai Bomba (BBP) Penampang, Zino Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.58 petang.

Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Penampang.

"Menurut laporan, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bertembung dengan Proton Saga di mana terdapat tiga mangsa yang terlibat.

"Dua mangsa tersepit dalam Proton Saga berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

"Seorang lagi mangsa iaitu pemandu lelaki Toyota Hilux berusia 39 tahun mengalami kecederaan pada tangan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan pada jam 7.40 malam selepas pasukan bomba memastikan lokasi dalam keadaan selamat," katanya.