Jadilah pempengaruh berkelas tinggi

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

SUDAH sampai masa kerajaan perlu bertegas apabila kebelakangan ini terlalu ramai pempengaruh termasuk selebriti yang terlampau bebas bersuara sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat.

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan menjadikan platform di media sosial untuk menghentam pihak lain.

Dengan jumlah pengikut yang ramai mencecah ratusan ribu, golongan pempengaruh atau selebriti sepatutnya menggunakan media sosial untuk menunjukkan gaya hidup sihat, amalan yang memberi kebaikan dan mengajak masyarakat melakukan kegiatan berfaedah.

Isu yang agak panas baru-baru ini ialah tindakan seorang selebriti yang mencadangkan supaya pusat pelacuran warga asing diwujudkan di negara ini sehingga mengundang rasa kurang senang rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam.

Walaupun selebriti tersebut sudah meminta maaf, namun ia tidak dapat menghilangkan parut hati netizen yang tercalar dek kerana kenyataan tidak sensitifnya itu.

Sebenarnya, bukan semua perkara pempengaruh mempunyai kepakaran mengulas secara terbuka, apatah lagi jika ia melibatkan isu sensitif menyentuh hal-ehwal adab, budaya, bangsa atau agama.

Mungkin juga sudah tiba masanya sebuah jawatankuasa tapisan khas diletakkan di bawah Kementerian Digital berperanan memantau isi kandungan program bual bicara secara langsung dalam talian.

Jika ada individu sengaja mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti, mereka sepatutnya dikenakan tindakan seperti denda atau akaun media sosial disekat, bukan dengan hanya meminta maaf.

Artikel Berkaitan:

Sampai bila kita hendak normalisasikan situasi asal terlanjur cakap sahaja, minta maaf dan isu selesai!

Namun, tidak dinafikan ada juga pempengaruh yang menggunakan populariti mereka mengajak rakyat Malaysia kepada kebaikan.

Contohnya penyanyi popular dan pengacara, Alif Satar yang baru-baru ini melancarkan kempen #GengSubuhMacamJumaat pada hari pertama 2024.

Ia mendapat sambutan luar biasa sehingga kira-kira 3,000 jemaah menyertai solat subuh berjemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara.

Habis solat subuh, mereka joging pula beramai-ramai.

Pahala dapat, badan pun sihat.

Ini barulah ‘pempengaruh’ namanya!

Malah, kita mahu lebih ramai lagi pempengaruh berkelas tinggi seperti ini.