Malaysia terus tarik jenama EV global - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul. Foto Bernama
Tengku Zafrul. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia yang telah menarik syarikat multinasional terkemuka Amerika Syarikat (AS), Tesla untuk membuka ibu pejabat serantaunya di sini pada tahun lepas, merancang untuk menarik lebih banyak syarikat seperti syarikat gergasi kenderaan elektrik (EV) itu mendirikan kilang pemasangan di sini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada akhirnya untuk memastikan lebih banyak syarikat seperti Tesla membina kemudahan mereka di negara ini.

"Pada masa ini, ramai pengeluar kenderaan elektrik (EV) mendapatkan komponen dari Malaysia 'dalam jumlah bilion', katanya sambil menambah Malaysia sedang mengukuhkan industri semikonduktor untuk memanfaatkan pasaran EV yang semakin berkembang.

"Mereka mahu menyelaraskan semula rantaian bekalan untuk memastikan jaminan dan daya tahan rantaian bekalan (mereka), justeru, mereka berminat dengan Malaysia, dan kami mempelawa ramai pengeluar EV untuk datang,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan "Squawk Box Asia” terbitan CNBC yang disiarkan hari ini.

Beliau memberitahu saluran berita perniagaan itu bahawa matlamatnya untuk pengeluar EV memperluas kedudukan mereka di negara ini, menyatakan Tesla telah menjadi antara penyedia stesen pengecasan utama Malaysia manakala beberapa syarikat terbesar Malaysia juga merupakan pembekal Tesla.

Bulan lepas, Tengku Zafrul berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan EV yang kukuh setiap tahun dan kerajaan optimis momentum positif itu akan berterusan, dengan lebih 100,000 kenderaan elektrik berdaftar.

Katanya, beliau percaya EV akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan eksport industri pembuatan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, produk elektrik dan elektronik (E&E) merupakan aspek penting dalam rantaian bekalan EV.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, terdapat banyak potensi dalam kenderaan generasi baharu apabila lebih banyak komponen, misalnya, komposit semikonduktor, komponen cip dalam kereta biasa hari ini atau kereta hibrid, (diperlukan) kira-kira 1,500 cip dalam satu kereta,” katanya.

Majlis Pelaburan Negara (MPN), pada mesyuarat baru-baru ini, memutuskan untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Strategik Semikonduktor Negara (NSSTF) untuk membolehkan negara meningkatkan rantaian nilai dalam industri cip.

Dalam kenyataan, Tengku Zafrul berkata, keputusan itu dicapai memandangkan kepentingan industri semikonduktor, yang menyumbang 45.4 peratus (atau RM593.5 bilion) kepada jumlah eksport hasil industri pembuatan Malaysia.

"Ia adalah satu platform khusus untuk membangunkan ekosistem semikonduktor dan menarik pelaburan strategik dalam sektor tersebut,” katanya.

NSSTF, yang akan dipengerusikan oleh Tengku Zafrul, dijangka mengukuhkan lagi sektor yang kini menyumbang 13 peratus kepada aktiviti pemasangan, ujian dan pembungkusan cip di seluruh dunia dan 10 peratus kepada pasaran semikonduktor global.

Dalam temu bual dengan CNBC, Tengku Zafrul juga berkata, pasukan petugas itu menekankan kepentingan sektor semikonduktor negara - yang menyumbang tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan separuh daripada eksportnya.

Beliau berkata, pasukan itu bukan sahaja akan melihat kepada mengembangkan industri semikonduktor di Malaysia tetapi juga akan berusaha untuk memastikan terdapat 'rantaian bekalan bakat' di negara ini.

"Malaysia memerlukan 50,000 jurutera elektrik dan elektronik setiap tahun, namun kami mengalami kekurangan golongan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Malaysia masih berada dalam kedudukan yang baik untuk mencapai matlamat mengembangkan industri semikonduktornya.

"Aspek yang baik mengenai Malaysia ialah industri ini bermula pada awal tahun 70-an. Justeru, ia sudah berada di sini selama 50 tahun. Asasnya kukuh untuk kami hari ini bagi meningkatkan rantaian nilai,” katanya. - Bernama