Buat julung kalinya menteri santuni penjawat awam

Steven Sim ketika mengunjungi Cuepacs di Wisma Cuepacs pada Khamis.
Steven Sim ketika mengunjungi Cuepacs di Wisma Cuepacs pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Buat julung kalinya menteri bertindak proaktif dengan menyantuni dan mengunjungi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi membincangkan isu-isu pekerja.

Kunjungan itu diadakan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Wisma Cuepacs pada Khamis.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, ia mencerminkan prinsip dan kesungguhan Steven Sim untuk berdiri bersama warga pekerja.

Katanya, kesungguhan dan sikap merendah diri Steven Sim bertemu dengan kesatuan pekerja memberikan Cuepacs harapan besar dalam melihat lebih banyak penambahbaikkan dasar untuk golongan pekerja di negara ini.

"Kami amat berbesar hati menerima kunjungan ini kerana buat julung kalinya Menteri Sumber Manusia turun sendiri ke lapangan.

"Cuepacs akan terus memberi sokongan dan dokongan kepada beliau terutamanya melibatkan tiga teras utama iaitu memperkukuhkan kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan (produktiviti) pekerja," katanya dalam satu kenyataan.

Steven Sim ketika mengunjungi Cuepacs di Wisma Cuepacs pada Khamis.
Steven Sim ketika mengunjungi Cuepacs di Wisma Cuepacs pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Adnan turut menyeru kepada semua penjawat awam agar segera mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai salah satu usaha menyahut inisiatif kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebagai kumpulan yang melaksanakan segala aspirasi kerajaan, penjawat awam perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam memastikan kejayaan program PADU.

"Kita ada kira-kira 1.7 juta penjawat awam ketika ini dan sekiranya masing-masing mengambil tanggungjawab untuk mendaftar dengan lebih awal, Cuepacs yakin jumlah pendaftaran PADU akan meningkat dengan mendadak. Penjawat harus menjadi contoh dan mendahului dalam seruan kerajaan.

"Selain itu, kami melalui semua gabungan kesatuan sekerja akan mengambil peranan yang proaktif dalam memastikan maklumat yang tepat sampai kepada penjawat awam.

"Pengumpulan data-data ini amat penting bagi membolehkan kerajaan menilai kemampuan sebenar kewangan penjawat awam yang akan menjadi justifikasi bagi peningkatan gaji yang dicadangkan oleh Cuepacs," ujarnya.

Tambah Adnan, diharapkan semua pihak tidak menyebarkan gambaran salah mengenai sistem PADU terutama mengenai aspek keselamatan.

"Kita perlu yakin bahawa sistem yang dibina sepenuhnya oleh pasukan penjawat awam daripada Kementerian Ekonomi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah selamat.

"Perhatian yang teliti terhadap melindungi data pengguna atau rakyat ini telah menunjukkan dedikasi kerajaan untuk mengekalkan piawaian kepercayaan dan perlindungan data Kerajaan pada tahap tertinggi.

"Dapatan daripada PADU ini akan dijadikan panduan oleh kerajaan untuk mengagihkan bantuan dan subsidi kerajaan supaya setiap ketirisan dapat dielakkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!