Tekanan pegawai atasan didakwa punca rasuah penjawat awam

Isu rasuah turut berlaku apabila pegawai bawahan didakwa terpaksa memohon 'sumbangan' daripada pihak ketiga bagi merealisasikan kehendak pihak atasan. Gambar kecil: Nor Halmey
Isu rasuah turut berlaku apabila pegawai bawahan didakwa terpaksa memohon 'sumbangan' daripada pihak ketiga bagi merealisasikan kehendak pihak atasan. Gambar kecil: Nor Halmey
A
A
A

SHAH ALAM - Rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam wujud disebabkan oleh beberapa faktor antaranya tekanan daripada pegawai atasan yang menuntut sesuatu perkara.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah mendakwa, pegawai bawahan terpaksa memohon 'sumbangan' daripada pihak ketiga bagi merealisasikan kehendak pihak atasan.

"Selain itu, perjawatan yang tidak telus seperti lantikan atas dasar kenalan atau kroni sedangkan mereka tidak cukup kelayakan mendedahkan pegawai tersebut untuk mengambil rasuah.

"Bukan itu sahaja, tekanan dan kekangan semasa turut menjadi salah satu faktor berlakunya perbuatan tidak bermoral itu dalam kalangan penjawat awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan seorang penjawat awam yang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM45,000.

Sumber memberitahu, wang berkenaan sebagai balasan melantik satu syarikat sebagai pembekal untuk program di bawah sebuah jabatan kerajaan di negeri ini.

Beliau juga memaklumkan, tandatangan itu bertujuan memperdaya pemilik syarikat untuk membayar wang rasuah yang diminta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nor Halmey, terdapat segelintir individu yang sentiasa mahukan kemodenan tanpa memikirkan kemampuan menyebabkan mereka tidak berfikir panjang untuk mengambil rasuah.

"Jangan disebabkan ingin memenuhi kemahuan sendiri atau didesak keluarga serta perasaan ingin menyaingi, penjawat awam mengabaikan integriti mereka," jelasnya.