Pembangkang tiada kekuatan kemuka usul undi tidak percaya - PM

Anwar (tiga dari kanan) bersama rakan sejawatan dari Singapura, Lee Hsien Loong (tiga dari kiri) hadir pada MOU Wilayah Ekonomi Khas Johor - Singapura antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong hari ini. Foto Bernama
Anwar (tiga dari kanan) bersama rakan sejawatan dari Singapura, Lee Hsien Loong (tiga dari kiri) hadir pada MOU Wilayah Ekonomi Khas Johor - Singapura antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong hari ini. Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pembangkang disifatkan tidak mempunyai kekuatan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dalam usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata, Kerajaan Perpaduan pernah mencabar pihak terlibat berbuat demikian sebelum ini, namun pembangkang masih tidak melakukannya walaupun perkara berkenaan telah dibangkitkan sejak setahun lalu.

"Sudah lama tunggu (usul tidak percaya), setahun dah. Hari-hari kita tunggu, tiada. Jadi kita tidak fikir bab itu.

'Saya tidak fikir dia (pembangkang) ada kekuatan untuk bawa ini (usul tidak percaya di Parlimen) selain daripada propaganda untuk menipu penyokong-penyokong supaya jangan hilang semangat.

"Saya punya pendapat berbeza, kalau tidak mampu bawa perubahan sepatutnya cuba bekerja untuk rakyat.

"Rakyat yang akan pilih (kerajaan) akhirnya," katanya pada sidang akhbar Majlis Ramah Mesra bersama warga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini pada Khamis.

Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini, dengan sidang pertama bermula 26 Februari hingga 27 Mac iaitu selama 19 hari.

Sebelum itu, pada Selasa Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata bahawa sokongan terhadap seseorang perdana menteri harus diputuskan melalui undi percaya di Dewan Rakyat dan bukannya berdasarkan akuan berkanun (SD).

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tulisan seorang penulis blog yang melarikan diri dan kini dalam buangan, Raja Petra Kamarudin yang mendakwa bahawa pembangkang telah berjaya memperoleh sekitar 120 SD untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar.

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Langkah Dubai tidak akan menjadi realiti kerana Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan 150 ahli Parlimen ketika ini.

Menurut beliau, Akta Lompat Parti yang masih berkuat kuasa memungkinkan Langkah Dubai tidak berlaku.